SAUDARA PENGARANG
Setiap kali semester baru bermula, wajah-wajah muda membanjiri kampus. Mereka datang dengan semangat baharu, namun di balik senyuman dan telefon pintar yang tak lepas dari tangan, kita akan mula perasan akan sesuatu perkara iaitu ramai mahasiswa hari ini terlalu cepat meletakkan label pada diri sendiri.
“Saya introvert, saya ada anxiety, saya depression.”
Frasa ini bukan lagi sekadar ungkapan rawak kerana ia kini menjadi identiti, malah kadang-kadang dijadikan alasan untuk tidak mencuba. Mereka duduk di hujung kelas, pasang earphone, tenggelam dalam skrin telefon, dan hidup dalam gelembung maya yang semakin menjarakkan mereka daripada dunia sebenar. Masalahnya, dunia luar nanti tidak akan bertanya sama ada anda introvert atau extrovert. Dunia hanya mahu tahu satu perkara iaitu boleh buat kerja atau tidak.
Sebelum itu, mari kita luruskan dulu yang mana introvert bukan penyakit. Ia kecenderungan personaliti, sama seperti extrovert. Namun, ia bukan lesen untuk berdiam diri atau menolak tanggungjawab. Masalah muncul apabila istilah itu disalah guna.
Ada pelajar berkata, “Saya introvert, jadi saya tak boleh present.” Soalannya, adakah itu kenyataan jujur atau alasan untuk terus kekal selesa? Ramai tokoh dunia yang sebenarnya introvert tetapi mereka berjaya kerana tidak menjadikan sifat itu penghalang. Mereka belajar bercakap, berani menonjol, dan melatih diri menghadapi ketakutan. Introvert bukan bermaksud takut, cuma perlukan cara berbeza untuk berfungsi. Tetapi bila label dijadikan dinding pertahanan, ia mula membunuh potensi diri.
Kita tidak menafikan bahawa isu kesihatan mental itu benar dan serius. Ada pelajar yang betul-betul memerlukan bantuan profesional dan mereka perlu dibantu. Namun apa yang menakutkan sekarang ini apabila semakin ramai yang self-diagnose hanya kerana membaca thread di X atau video TikTok. Bila gagal buat tugasan, terus kata “burnout.” Bila ditegur pensyarah terus rasa “depression.” Bila takut bercakap di hadapan kelas terus menyatakan mereka “anxiety.”
Kita perlu ajar mahasiswa membezakan antara cemas dan anxiety disorder, antara letih dan burnout klinikal, antara sedih dan depresi. Kalau benar sakit jumpalah pakar yang profesional. Tetapi jangan menggunakan label sebagai perisai untuk mengelak usaha. Yang saya risau adalah kita sedang membina generasi yang terlalu cepat menyerah. Generasi yang belajar lebih cepat untuk mengelak daripada menghadapi sesuatu pekara dengan lebih berani dan berfokus.
Masih segar dalam ingatan kali pertama generasi terdahulu membuat pembentangan di dalam kelas. Suara bergetar, tangan menggigil, peluh menitis. Tapi kita tetap teruskan. Kerana kita tahu keberanian tidak datang secara semula jadi. Ia mesti dilatih. Bezanya antara mereka yang berjaya dengan yang kekal takut hanyalah satu perkara iaitu mereka terus mencuba walaupun takut.
Ingatlah generasi masa kini, setiap kali anda menolak peluang untuk bercakap, anda sebenarnya menolak peluang untuk berkembang. Setiap kali anda memilih untuk diam, anda sedang melatih diri menjadi tidak kelihatan.
Realitinya, dunia kerja tidak menilai anda berdasarkan pointer semata-mata. CGPA 4.0 hebat, tetapi tidak akan bermakna jika anda tidak mampu bercakap, tidak tahu bekerja dalam pasukan, atau tidak pandai menyesuaikan diri. Majikan mahu pekerja yang bijak, bukan sekadar pandai. Bijak membaca situasi, mengurus emosi, dan berkomunikasi secara berkesan.
Pandai ialah mereka yang tahu menjawab soalan. Bijak ialah mereka yang tahu bila perlu bertanya. Pandai mungkin skor dalam exam, tapi bijak mampu bertahan bila dunia kerja menekan tanpa belas kasihan. Dunia sebenar tidak beri markah kasihan. Ia beri peluang kepada yang berani, dan menggantikan yang hanya pandai mengelak.
Generasi Strawberi dan Budaya Cepat Kalah
Ada sebab kenapa istilah “Generasi Strawberi” muncul. Ianya seperti indah di luar, tetapi lembik bila ditekan. Apabila diberi tugasan mencabar, ada yang terus menyerah. Bila dikritik, terasa. Bila program universiti bertembung dengan game tournament, mereka pilih game. Bila dikejutkan dengan dunia sebenar, mereka rebah.
Kita tidak boleh terus memanjakan budaya ini. Universiti sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk gagal, untuk mencuba, untuk belajar bangkit. Kalau di sinilah pun anda tidak berani menonjol, bagaimana bila dunia luar mula menolak tanpa belas?
Mulakan dengan perkara kecil seperti bercakap dalam kelas tutorial, sertai kelab, bertegur dengan rakan baru. Cuba buat sesuatu yang menakutkan anda sedikit demi sedikit kerana keberanian bukan datang dari motivasi ia datang dari tindakan berulang.
Datang berjumpa pensyarah. Tanya soalan. Sertai program yang mencabar. Jangan pilih yang selesa. Bila anda mula keluar dari “gelembung selamat”, anda mula membina keyakinan sebenar yang bukan keyakinan yang datang dari likes di media sosial, tetapi dari pengalaman sebenar berinteraksi dengan manusia.
Percayalah lima tahun dari sekarang, dunia pekerjaan akan dikuasai oleh automasi dan kecerdasan buatan. Hanya mereka yang mampu berfikir, berkomunikasi, dan menyesuaikan diri akan kekal relevan.
Jika anda masih bersembunyi di sebalik alasan “saya introvert” atau “saya tak pandai cakap”, anda sedang mempersiapkan diri untuk ketinggalan. Dunia tidak tunggu anda bersedia. Dunia tidak peduli dengan label. Dunia hanya mahu tahu apa nilai yang anda bawa?
Berhenti sembunyi di sebalik istilah yang anda sendiri cipta. Jadilah mahasiswa yang bukan hanya sekadar lulus, tetapi hidup dengan makna. Dunia tidak tunggu kamu selesa tapi dunia sentiasa beri ruang kepada yang berani berubah.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Muhamad Hafiz Bin Hassan
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak
Dr Mohd Yusof Zulkefli
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.