fb fb fb fb fb

Wanita & misi kemanusiaan, antara tuntutan syariat - amanah insani

Rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa berhimpun sebagai satu hati, menyuarakan solidariti buat saudara-saudara di Gaza/Foto hiasan - FB ANWAR IBRAHIM

SAUDARA PENGARANG

Dalam dunia yang terus bergolak dan penuh krisis, kehadiran wanita di medan jihad kemanusiaan bukan lagi satu pengecualian bahkan ia kini menjadi keperluan. Di Palestin, Yaman, Syria dan pelbagai lokasi bencana, ramai wanita menjadi wajah kepada harapan dengan menghulur tangan, memujuk jiwa, menyembuh luka, dan menghidupkan semula erti kasih sayang setiap insan yang menjadi mangsa kekejaman.

Namun dalam kalangan masyarakat Islam, masih timbul persoalan hukum: Adakah wanita dibenarkan menyertai misi kemanusiaan tanpa ditemani mahram? Persoalan ini wajar dijawab dengan ilmu dan hikmah, bukan sekadar dengan literal teks, tetapi dengan kefahaman terhadap maqasid syariah iaitu matlamat utama di sebalik setiap hukum Islam.

Hukum Asal dan Hikmah Larangan Bermusafir Tanpa Mahram

Islam merupakan agama yang penuh rahmah telah menetapkan bahawa wanita tidak boleh bermusafir tanpa mahram berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW: “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk bermusafir sejauh perjalanan sehari semalam melainkan bersama mahramnya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini jelas dan para fuqaha sepakat menegaskan bahawa hukum asalnya adalah larangan demi menjaga keselamatan, maruah dan kehormatan wanita.

Namun, di sebalik hukum itu terdapat hikmah dan tujuan serta illat (sebab) yang sangat penting; Islam melarang sesuatu kerana mahu melindungi, bukan menyekat secara mutlak. Larangan itu bukan semata-mata kerana ketiadaan mahram, tetapi kerana wujudnya risiko dan bahaya dalam perjalanan seorang wanita pada ketika zaman itu iaitu ketika perjalanan jauh dilakukan melalui padang pasir tanpa keselamatan dan kemudahan seperti hari ini.

Menurut Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, hukum ini tertakluk kepada keadaan zaman dan keselamatan perjalanan. Jika tiada risiko dan keselamatan terjamin, maka hukum boleh berubah daripada larangan kepada keharusan. Ini kerana hukum syarak berpaksikan maqasid dan bukan sekadar hukum semata-mata.

Maqasid Syariah - Amanah Kemanusiaan

Dalam konteks dunia moden, perjalanan wanita sering berlaku dalam rombongan rasmi, misi terkawal dan pengawasan institusi atau organisasi bahkan pihak kerajaan dan negara dengan sistem keselamatan yang ketat. Justeru, illat (sebab) larangan iaitu risiko dan bahaya tidak lagi boleh disenadakan dengan konteks larangan terdahulu dengan keadaan perjalanan yang terlalu berisiko dan membahayakan.

Ulama kontemporari seperti Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Mar’ah al-Muslimah menjelaskan bahawa larangan wanita bermusafir tanpa mahram bukanlah tertumpu pada diri itu sebagai wanita, tetapi kerana kebimbangan terhadap bahaya dan fitnah. Sekiranya asbab itu tiada, maka larangan tidak lagi terpakai, terutama apabila tujuan perjalanan adalah syarie dan mendesak seperti urusan ilmu, dakwah dan kemanusiaan.

Dr. Wahbah al-Zuhayli dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu turut menegaskan bahawa apabila terdapat keperluan masyarakat dan maslahat umum, maka penglibatan wanita dalam misi kemanusiaan diharuskan dan terpuji, dengan syarat jaminan keselamatan, akhlak dan adab terpelihara.

Kelonggaran ini tidak bermaksud menolak hadis, tetapi sewajarnya mengamalkannya dengan memahami hikmah di sebaliknya, sebagaimana kaedah fiqh menyebut: “Al-hukmu yaduru ma‘a illatihi wujūdan wa ‘adaman” (Hukum tercetus bersama sebabnya (illat) wujud atau tiadanya.).

Sementelah pula, misi menyelamatkan nyawa insan yang tertindas merupakan ibadah. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah, 5:32: “Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia”.

Menurut perspektif Islam, ayat tersebut menjadi dasar kemanusiaan yang menegaskan bahawa menyelamatkan satu nyawa adalah ibadah yang nilainya menyamai menyelamatkan seluruh manusia. Tuntasnya, wanita yang menyertai misi kemanusiaan untuk menyelamatkan nyawa, merawat mangsa, atau menyalurkan bantuan, mereka sedang melaksanakan fardu kifayah iaitu kewajipan masyarakat Islam terhadap sesama manusia.

Rasulullah SAW telah mengiktiraf peranan wanita dalam misi kemanusiaan dan perubatan. Sirah memperlihatkan dan menegaskan peri pentingnya peranan wanita dalam beberapa misi kemanusiaan termasuk peperangan.

Wanita hebat yang dicatatkan nama mereka dalam sejarah misi kemanusiaan dan peperangan, antaranya; Ummu ‘Athiyyah al-Ansariyyah (r.a) yang menegaskan bahawa beliau pernah ikut serta bersama Rasulullah SAW dalam tujuh peperangan dan bertanggungjawab menjaga barisan belakang pasukan, memasak makanan, mengubati yang luka, dan merawat yang sakit. (Riwayat Muslim).

Rufaida al-Aslamiyyah (r.a) merupakan jururawat pertama dalam Islam. Beliau mengubati tentera Khandaq yang cedera bahkan mendapat keizinan Rasulullah SAW yang turut mendirikan khemah rawatan sebagai galakan dan penghargaan kepada beliau.

Selanjutnya sejarah melantunkan kisah srikandi Nusaibah binti Ka’ab (Ummu ‘Imarah r.a) yang telah turut berperang dalam Perang Uhud. Bahkan beliau mengangkat senjata melindungi Nabi SAW dan dinyatakan beliau mengalami luka yang banyak demi mempertahankan Rasulullah SAW.

Sejarah turut menjulang nama Ummu Sulaim (r.a) yang turut dalam perang Hunain sambil membawa sebilah belati, bersiap untuk mempertahankan dirinya dan tentera Muslimin jika diperlukan.

Catatan sirah ini merupakan bukti sahih bahawa wanita dibenarkan bermusafir dan terlibat dalam misi kemanusiaan jika tujuan dan keperluannya jelas serta dikawal oleh disiplin syarak. Tuntasnya, sirah memperlihatkan bahawa wanita diizinkan keluar berjihad tanpa disebutkan keberadaan mahram yang mengiringi mereka secara khusus.

Kemanusiaan dan Manusiawi

Dalam banyak situasi bencana dan peperangan, majoriti mangsa ialah wanita dan kanak-kanak. Mereka mengalami trauma dan memerlukan kehadiran wanita lain untuk membantu, berbicara dan merawat. Dalam keadaan seperti ini, kehadiran sukarelawan wanita bukan sekadar dibenarkan, malah menjadi tuntutan keperluan insaniah (darurah insaniyyah).

Tanpa kehadiran wanita, banyak bentuk bantuan tidak dapat disampaikan dengan efektif khususnya bantuan psikososial, psikoterapi, penjagaan anak yatim dan kesihatan reproduktif mangsa perang. Dalam hal ini, prinsip Islam yang menekankan “darurat mengharuskan perkara yang terlarang” (al-darurat tubih al-mahzurat) adalah terpakai dalam batas tertentu.

Kasih Sayang dan Rahmah Dalam Berdakwah

Islam adalah agama rahmah. Wanita dengan fitrah kasih sayang dan kelembutan hati mereka menjadi perantara yang menyebarkan rahmat ke seluruh dunia. Firman Allah SWT dalam surah al-Rum 21:21: “Dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang.”

Kita tidak menafikan bahawa setiap para sukarelawan memberikan ubat, rawatan dan makanan, namun yang lebih penting, wujudnya sentuhan rahmah dan mahabbah yang menghidupkan semula harapan dalam kalangan mangsa wanita dan kanak-kanak. Perihal ini lebih dirasai dengan kehadiran para sukarelawan wanita yang lebih menyelami jiwa wanita dan anak-anak.

Para sukarelawan tidak berdakwah dengan lidah, tetapi dengan perbuatan iaitu dakwah bil hal yang mempamerkan wajah sebenar Islam yang penuh kasih, empati, mahabbah, ihsan dan keinsanan. Perihal ini yang wajar difahami dengan rasa hati dan empati.

Keberanian para sukarelawan khususnya wanita adalah cerminan iman yang mendalam. Mereka meninggalkan keselesaan demi menghulur kehidupan. Inilah jihad kemanusiaan yang tidak memerlukan senjata, tetapi menuntut keberanian hati dan keikhlasan niat.

Menjaga Adab, Menjunjung Syariat

Walaupun hukum memberi ruang, namun adab syarak tetap menjadi tunjang utama. Para sukarelawan wanita yang bermusafir untuk tujuan kemanusiaan hendaklah memastikan beberapa perkara utama dan antaranya:

1. Keselamatan perjalanan dan pengawasan yang rapi
2. Penjagaan amal ibadat
3. Menjaga aurat, akhlak dan adab pergaulan
4. Mengelakkan khalwat dan fitnah
5. Bermusafir bersama kumpulan amanah dan institusi rasmi

Selagi syarat-syarat ini dipenuhi, maka perjalanan tersebut adalah dalam bingkai syariat yang sah dan bukan pelanggaran terhadap hukum asal.

Islam Agama Penyelamat dan Rahmah

Islam tidak tersebar dengan tujuan untuk menyukarkan penganutnya tetapi untuk memelihara. Tujuan syariat adalah menjaga agama, nyawa, akal, maruah dan harta yang dikategorikan sebagai maqasid syariah. Dalam misi kemanusiaan, kesemua maqasid ini hadir serentak iaitu menjaga nyawa, memelihara maruah dan disulami dengan menegakkan keadilan dan menyebarkan kasih sayang.

Islam adalah agama rahmah, bukan agama sekatan dan amarah. Tujuan hukum bukan untuk menghalang kebaikan, tetapi untuk memastikan kebaikan dilakukan dengan selamat dan beradab. Sehubungan itu, seorang wanita yang ingin menyertai misi kemanusiaan tanpa mahram dengan niat yang ikhlas, dalam keadaan terkawal dan selamat, mendapat keizinan suami, ibubapa dan ahli keluarga; Islam tidak hanya mengizinkan, bahkan memuliakan niatnya.

Kehadiran wanita dalam misi kemanusiaan bukan sekadar tindakan sosial, tetapi manifestasi iman dan tanggungjawab khalifah dan hamba Allah di bumi yang terserlah dalam jiwa nuraninya.

Para sukarelawan wanita ini amat sesuai dalam misi kemanusiaan kerana pada setiap tangan mereka ada kelembutan, di setiap langkah mereka ada keberanian dan di hati mereka ada cahaya kasih yang menyinari dunia yang sedang gelap dengan penderitaan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran 3:133 yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi individu yang bertaqwa”.

Wanita yang berjuang di medan kemanusiaan tanpa mahram bukanlah menolak syariat, tetapi menghidupkan roh syariat dengan memahami maqasidnya. Terus berani ke hadapan para Srikandi wanita!

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF DR KHADIJAH MOHD KHAMBALI
Prof Dr Khadijah Mohd Khambali @ Hambali
Profesor Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam
Akademi Pengajian Islam
Pengarah
Pusat Dialog Peradaban
Universiti Malaya
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI