SAUDARA PENGARANG
Merasa seronok apabila semua orang mengikut apa sahaja yang anda katakan. Pernah melalui keadaan tiba-tiba berubah; senyap dari keriuhan apabila anda masuk ke ruangan mereka atau ada yang kelihatan kecut perut menikus apabila anda merenung? Sedar atau tidak, anda sebenarnya mungkin salah seorang pembuli.
Pernahkah anda terfikir hakikatnya berapa ramai yang betul-betul menghormati anda atau yang menjauhkan diri daripada anda itu sebenarnya bukan kerana anda digeruni atau ditakuti?
Bila anda mula berasa sunyi, baru sedar yang kuasa dan keseronokan yang anda rasa itu, sebenarnya palsu. Semua orang menjauhkan diri. Anda bukan disegani, hakikatnya anda dibenci dalam diam-diam. Jadi apabila orang takut bukan maknanya anda power, tapi sebenarnya anda loser!
Buli Sekali, Jejak Digital Tak Terpadam
Zaman sekarang teknologi semudah di hujung jari. Hari ini kes buli tidak perlu mengambil masa lama untuk tular atau ditularkan. Sekali nama naik sebab membuli, boleh dibuang sekolah atau universiti, reputasi jatuh, biasiswa boleh hilang dan lebih perit hendak memohon kerja pun susah.
Ya, ada juga pembuli yang ‘untung sikit’, bila mana perbuatan jahat mereka kekal rahsia di dunia atau yang kejahatannya dibela oleh ‘tangan-tangan ghaib’. Serba sedikit kuranglah jejak digital berbanding kes buli yang ‘berjaya’ ditularkan.
Tetapi perlu beringat, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Mendengar dan Melihat! Jika sehelai daun gugur pun dalam pemerhatian Allah, apatah lagi setakat si kaki buli picisan dan konco-konconya!
Kalau nak anak, cucu, cicit dan generasi seterusnya berasa ‘bangga’ jumpa jejak digital ibu bapa atuk nenek, moyang mereka viral gara-gara kaki buli semasa hayat mereka, anda boleh teruskan tabiat membuli itu.
Tempat Kerja Bukan Zon Selamat
Jangan sangka buli hanya berlaku di sekolah. Tempat kerja pun ada kes buli. Biasanya yang popular berkaitan ‘buli beruniform’. Tetapi yang bukan uniform pun, sebenarnya sama naik. Dalam al-Quran Allah menyebut syaitan (sifat) itu sememang berada dalam kalangan manusia dan jin, bukan?
Mereka yang diluar bidang beruniform juga manusia, sepatutnya tidak terlepas dari bersikap sebegini. Sikap suka menyindir di hadapan sesama kakitangan, mensabotaj kerja orang lain, membuat ugutan halus dan seumpamanya bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan jenaka, bahkan boleh dikira sebagai jenayah buli.
Sekali pun pelaku pernah menjadi mangsa atau pemangsa ketika zaman persekolahan, bukanlah ianya tiket untuk terus menjadi pembuli ketika alam pekerjaan pula.
Besar Peluang Naik Mahkamah
Buli bukan sekadar tidak berakhlak. Ia juga menyalahi undang-undang. Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan boleh digunakan jika ada kecederaan atau ugutan. Pelajar pula dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak. Pekerja pula dilindungi di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Selain itu, buli di tempat kerja secara jelas dikategorikan sebagai risiko psikososial, selaras garis panduan PRiSMA 2024. Hebahan mengenainya telah disebar luas melalui media sosial, termasuk di Kementerian Sumber Manusia. Ia supaya majikan wajib mengenal pasti dan mengurus kes buli, tekanan kerja dan sebarang bentuk gangguan di tempat kerja.
Dengan sokongan dan tambah baik undang-undang, mangsa kini sepatutnya menjadi semakin berani untuk membuat laporan kerana sistem undang-undang telah mula mendengar dan memberi perhatian. Kalau anda rasa teringin nak naik turun mahkamah kerana jadi orang yang dituduh, teruskan sikap suka pembuli.
Buli dalam Darah Daging Sendiri
"Saya dan suami sangat tertekan, berdosa ke ustaz kalau saya letih?”- Tanya seorang mad’u tentang kisah hidupnya kepada ustaz kerana menjadi bank tidak rasmi kepada ibu bapa yang merupakan pesara kerajaan yang mempunyai pencen lumayan, tetapi hobi masa tuanya berjudi dalam talian dan menghisap dadah! Ditambah pula seorang abang sulung penganggur, penghisap dadah dan tahi judi. Ke semua mereka perlu disara setiap bulan.
Kisah sebegini mungkin banyak dalam keluarga cuma, situasi atau keadaan yang membezakan. Sebenarnya, buli dalam rumah tidak semestinya tangan yang naik. Kadang-kadang, datang dalam bentuk manipulasi emosi, ugutan halus, beban kewangan yang tidak adil, dan melabel ‘anak derhaka’ kerana enggan memenuhi permintaan pembuli. Malangnya, apabila situasi itu berlaku dalam keluarga, jarang dan tidak disebut sebagai ‘buli’.
Sedangkan ada pembuli paling awal dalam hidup seseorang adalah yang ‘memakai kain pelikat dan tudung bawal’. Mereka adalah ahli keluarga mangsa yang berada di dalam rumah. Jika hendak memanfaatkan peribahasa air dicincang tidak akan putus kerana sifat “kesyaitanan” diri, anda boleh teruskan berbuat zalim pada darah daging sendiri.
Pembuli Tidak Terlepas Balasan
Jadi pembuli, ada kemungkinan terlepas di dunia. Anda mungkin terlepas hukuman mana-mana peringkat tindakan undang-undang atau seumpamanya. Tetapi, hukuman di akhirat tetap menanti.
Dalam Islam, pembuli dikategorikan sebagai orang yang zalim. Waktu di dunia semua orang mungkin boleh diam, tetapi dosa sebagai pembuli tetap berjalan perlahan. Justeru, bangga ke menjadi pembuli di dunia jika Allah sudah ancam muflis di akhirat sejak lebih 1400 tahun lalu?
Membuli bukan tanda kekuatan, tetapi petanda seseorang sedang hilang arah, tanda jiwanya telah kosong. Orang yang betul-betul kuat bukan yang buat orang tunduk, tetapi yang mampu mengawal amarah dan hormat sesama manusia walau siapa pun mereka.
Sebab orang yang betul-betul dihormati, biasanya orang yang betul-betul menyayangi. Bukannya orang yang ada mentaliti pembuli. Kalau nak tempah rugi selama-lamanya di akhirat, teruslah berseronok membuli orang lain di dunia!
Kesimpulannya, tidak salah menjadi kuat. Tetapi apabila kekuatan itu digunakan untuk menyakiti yang lemah ia bukan lagi kekuatan sebenar. Itu hanyalah ketakutan yang bertopengkan ego. Perangai anda tidak kurang bezanya dengan Zionis yang membedil saudara seiman kita!
Jika penderitaan mangsa buli yang berpanjangan dalam hidup mereka dek kerana ulah atau tingkah laku anda, membuat anda rasa seronok, beringatlah tiada apa yang kekal di dunia.
Kita tidak tahu siapa yang kita sakiti hingga trauma hari ini. Mungkin suatu hari nanti dia yang akan membantu kita saat kita jatuh. Lagi bertambah malu, jika dia juga yang kita tuntut maaf dan ampun di akhirat kelak. Jadi, seronok sangatkah kita sehingga orang lain perlu rasa lemah untuk kita rasa kuat?
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Siti Nurashidah Roslan
Pensyarah Jabatan Pengurusan & Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor

Fadilah Mat Nor
Pensyarah Jabatan Ekonomi & Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor