SAUDARA PENGARANG
Sejak penubuhan Universiti Utara Malaysia (UUM) 40 tahun lalu di Sintok, Kedah, ia bukan sahaja memberikan perkhidmatan pendidikan tinggi dalam bidang pengurusan, tetapi juga berperanan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Pengasasan UUM membawa limpahan ekonomi kepada kawasan sekitar terutama komuniti dan bandar Changlun dari segi peningkatan kegiatan ekonomi, pembinaan kawasan perumahan, penyediaan infrastruktur dan lain-lain lagi.
Matlamat utama pelaksanaan Projek Transformasi Changlun (CTP)
Bagi meneruskan lagi peranan UUM dalam membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi, Projek Transformasi Changlun (CTP) dilancarkan pada Januari 2025 dengan matlamat utama memperkasa komuniti menjadi Komuniti Berpengetahuan serta memiliki pemikiran yang progresif.
Ke arah mencapai matlamat CTP, empat bidang diberi tumpuan iaitu Transformasi Sisa, Transformasi Pengetahuan, Transformasi Pelancongan dan Transformasi Sosial melalui kerjasama strategik pelbagai pihak iaitu pihak UUM, kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), masyarakat setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan rakan industri. Pelaksanaan program kepada komuniti di Changlun dibuat berdasarkan strategi-strategi yang telah digariskan dalam tempoh 10 tahun mengikut perancangan strategik CTP.
Untuk tahun pertama hingga lima, rangka kerja CTP memberi tumpuan kepada usaha membina asas yang fokus kepada pemerkasaan pendidikan, keterlibatan komuniti dan merintis pelbagai projek transformasi. Manakala, bagi tahun keenam hingga sepuluh pula, CTP akan berusaha memanfaatkan asas-asas yang telah dibina untuk mengintegrasikan sepenuhnya teknologi moden dan amalan lestari dalam kalangan komuniti Changlun.
Secara terperinci, Transformasi Sisa bertujuan menambahbaik pengurusan sisa untuk mengurangkan penggunaan tanah sebagai tempat pembuangan sampah dan sebagainya, serta meningkatkan amalan kitar semula dalam kalangan penduduk yang dapat menjana pendapatan sampingan dan menjadikan alam sekitar lebih bersih.
Bagi bidang Transformasi Pengetahuan pula, CTP berhasrat mengubah Changlun menjadi sebuah hab pembelajaran dan inovasi yang selari dengan Matlamat-matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dengan tiga impak utama yang dijangka iaitu penambahbaikan program dan sumber pendidikan, peningkatan bidang penyelidikan dan inovasi serta pemahaman komuniti yang lebih mendalam terhadap aplikasi SDGs.
Di bawah Transformasi Pelancongan pula, CTP mahu membangunkan sektor ekopelancongan Changlun untuk menjadikannya lebih menarik kepada pelancong yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat. Rangka kerja CTP menjangka peningkatan bidang ini akan meningkatkan lagi kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa, mewujudkan bidang pelancongan yang mapan serta meningkatkan keterlibatan komuniti dalam sektor itu.
Bidang Transformasi Sosial merupakan satu usaha menangani cabaran sosial pada hari ini selain memperkasa komunikasi melalui pelaksanaan program-program strategik yang mampu meningkatkan kualiti kehidupan kumpulan tidak bernasib baik, meningkatkan sokongan komuniti dan keterlibatan dalam perkara sosial dan menyediakan penyelesaian berkesan terhadap isu-isu sosial di Changlun seperti penagihan dadah dan sebagainya.
Perkembangan pelaksanaan program di bawah CTP
Sejak Januari hingga kini, program-program perintis telah mula digerakkan menjayakan CTP. UUM menggunakan konsep Changlun sebagai Makmal Hidup yang membolehkan semua warga UUM seperti pusat pengajian, pensyarah, kakitangan dan mahasiswa bersama-sama melancarkan program-program rintis untuk diperkenal kepada komuniti Changlun. Dalam kata lain, komuniti universiti bergerak secara senada untuk menyumbang kepada kejayaan CTP.
Konsep ini penting bagi mengubah Changlun kepada Bandar Pengetahuan dengan melibatkan komuniti dalam proses inovasi. Ia juga akan mempercepatkan proses pembangunan penyelesaian lestari, memperkasa pemegang taruh terlibat dalam CTP dan menggalakkan rasa pemilikan bersama terhadap kejayaan projek-projek.
Melalui integrasi Makmal Hidup ini, ia boleh diselaraskan dengan matlamat-matlamat lestari global dalam menjayakan pembangunan komuniti progresif dan berkembang berasaskan ilmu pengetahuan. Setiap perkembangan projek boleh dinilai dan ditambahbaik di bawah amalan Makmal Hidup yang diterapkan untuk transformasi Changlun ini. Ini kerana, setiap program perlu melalui fasa pertama selama satu hingga tiga bulan melibatkan penelitian ke atas skop, dana, pasukan terlibat dari UUM dan komuniti serta proses merangka pelan tindakan.
Apabila fasa pertama telah siap, ia beralih ke fasa dua selama dua bulan melibatkan pelaksanaan program rintis dan pengenalan projek kepada komuniti. Fasa ini melibatkan aktiviti pengenalan seperti pengurusan sisa, inisiatif pelancongan dan komuniti. Apabila ia selesai dilaksana, program rintis akan dinilai berdasarkan maklum balas penduduk supaya langkah penambahbaikan projek dapat dibuat.
Fasa terakhir adalah peringkat ketiga melibatkan aktiviti pengembangan projek rintis yang telah berjaya diadakan. Ketika ini, projek rintis yang berjaya akan dikembangkan mejadi program berskala besar dengan penyertaan komuniti lebih luas di daerah ini.
Sejak dilancarkan, lima buah kampung dilibatkan setakat ini untuk program-program rintis iaitu Felda Laka Selatan (Program Penggerak Komuniti PEKERTI 2.0) oleh Pusat Asasi UUM, Program Santai Bersama Komuniti Mukim Temin dengan kerjasama Institute for Advanced and Smart Digital Opportunities (IASDO), Pejabat Daerah Kubang Pasu dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Paya Nongmi melibatkan aspek pengurusan bencana.
Program lain yang berjalan lancar sejak diperkenal termasuk Program Pengurusan Kewangan Penjaja Kecil Pasar Tani Kekal Changlung dan Program Pengurusan Kewangan Penjaja Kecil Wanita Negeri Kedah yang dilaksanakan oleh Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG).
Satu lagi projek adalah Pembangunan Ekonomi Komuniti Aquaponik (PEKA) dijayakan oleh Pusat Pengajian Teknologi Maklumat dan Logistik (STML) bersama penduduk Changlun. Tidak ketinggalan adalah pelaksanaan Projek Cili Fertigasi di Changlun melibatkan School of Economics, Finance and Banking (SEFB) UUM dan pasukan penyelidikan untuk memastikan usaha itu berjaya mencapai matlamat.
Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) UUM selaku tulang belakang bagi pelaksanaan CTP, merancang melibatkan 5 lagi kampung sekitar Changlun untuk melaksanakan projek-projek yang telah stabil dan berpotensi untuk berkembang serta memberi manfaat kepada komuniti.
Program-program rintis juga digerakkan oleh pusat-pusat pengajian UUM dengan yang terbaharu oleh Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) melibatkan murid-murid sekolah berusia 10-12 tahun sekitar Changlun. Projek “Building Confident Voices Among Digital Natives: A Community Initiative in Changlun” bertujuan membina keyakinan diri kepada peserta untuk bersuara dan menyampaikan idea serta melatih mereka menggunakan media digital secara positif.
Salah satu projek rintis lagi yang diperkenal setiap Sabtu adalah “car boot sales” yang bukan sahaja menjadi platform menjana pendapatan tetapi dalam konteks lebih besar, ia adalah usaha mewujudkan satu ruang komuniti Changlun mendapatkan pelbagai perkhidmatan di tapak yang dikhaskan untuk “car boot sales”. Ini kerana, rakan strategik seperti agensi kerajaan, PBT dan sebagainya akan turut berada di lokasi untuk memberi pelbagai perkhidmatan diperlukan kepada penduduk.
Bagi mengindahkan bandar Changlun, CeTMA merancang mengadakan program lukisan mural dengan melibatkan mahasiswa dan murid-murid sekolah sebagai salah satu aktiviti pengenalan aktiviti berkaitan Transformasi Pelancongan.
Dengan adanya CTP juga, pihak universiti kini mengintegrasikan kursus SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) yang merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti. Menerusi SULAM, mahasiswa perlu berinteraksi dengan komuniti bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk selain mempraktikkan pengetahuan bilik kuliah kepada aplikasi untuk komuniti. Kursus-kursus SULAM digalakkan untuk mencipta projek atau program komuniti yang selari dengan aspirasi CTP.
Komuniti sambut baik pelaksanaan program CTP
Kejayaan CTP ini terletak kepada komitmen semua pihak. Universiti selaku pencetus projek menyediakan tenaga kerja, sukarelawan, idea-idea pembaharuan dan juga semangat untuk menjayakan transformasi ini. Oleh kerana projek ini bersifat “bawah ke atas” ia bermakna, semua warga UUM boleh mencadangkan sebarang program yang selari dengan rangka kerja CTP. Sebagai contoh, CeTMA mengalu-alukan jika ada pihak yang berjaya menarik sumbangan dari syarikat-syarikat yang berhasrat bersama-sama dalam usaha mengubah Changlun.
Bagi tahun pertama, CeTMA sudah menerima permintaan dari kampung-kampung dan taman-taman perumahan untuk dilibatkan di dalam projek CTP kerana pada peringkat ini, komuniti sudah boleh melihat impak besar yang dibawa oleh CTP untuk jangka panjang. Ia memberi isyarat positif kerana salah satu elemen penting memastikan usaha ini berjalan lancar adalah penglibatan semua lapisan masyarakat di Changlun sama ada kanak-kanak, remaja, golongan dewasa dan warga emas. Mereka perlu menjadi peserta yang aktif untuk bersama-sama berubah mengikut CTP dan bukan peserta reaktif semata-mata.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof. Madya Dr. Masnita Misiran
Pengarah Pusat Pengujian,
Pengukuran dan Penilaian (CeTMA)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
E-mel: