fb fb fb fb fb

Komitmen Malaysia membanteras rasuah melalui UNCAC

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Malaysia menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) pada 9 Disember 2003 dan meratifikasinya pada 24 September 2008. Keputusan penting ini menandakan satu fasa baharu dalam usaha Malaysia membanteras rasuah. Sejak itu, Malaysia telah melaksanakan pelbagai pembaharuan penting dan mengambil langkah-langkah selaras dengan piawaian antarabangsa seperti yang dikehendaki oleh UNCAC.

Di bawah Mekanisme Kajian Pelaksanaan (IRM) UNCAC, Malaysia telah menyelesaikan dua kitaran semakan. Dalam kitaran pertama (2012–2013), Filipina dan Kenya telah menyemak pematuhan Malaysia terhadap Bab III (Jenayah dan Penguatkuasaan Undangundang) dan Bab IV (Kerjasama Antarabangsa).

Kitaran kedua (2015–2019), yang dijalankan oleh Timor-Leste dan Eswatini, memberi tumpuan kepada Bab II (Langkah Pencegahan) dan Bab V (Pemulihan Aset). Daripada semakan ini, Malaysia menerima 22 syor yang bertujuan mengukuhkan rangka kerja undang-undang, institusi dan proses dalam bidang pencegahan, jenayah, Kerjasama antarabangsa dan pemulihan aset.

Semakan tersebut turut mengenal pasti 35 amalan baik, yang menunjukkan kemajuan dan kepatuhan ketara Malaysia terhadap piawaian UNCAC:

  • Bab II: Langkah Pencegahan (6 amalan baik)
  • Bab III: Jenayah dan Penguatkuasaan Undang-undang (8 amalan baik)
  • Bab IV: Kerjasama Antarabangsa (5 amalan baik)
  • Bab V: Pemulihan Aset (16 amalan baik)

Malaysia turut aktif mengambil bahagian sebagai penyemak dalam mekanisme semakan UNCAC. Pada 2019, Malaysia dan Burkina Faso bersama-sama menyemak usaha antirasuah Palestin, dengan Malaysia meneliti Bab V (Pemulihan Aset) dan Burkina Faso menyemak Bab II (Langkah Pencegahan).

Pada 2020, Malaysia bergandingan dengan Macedonia Utara membuat semakan terhadap Georgia, di mana Malaysia menilai Bab V (Pemulihan Aset), dan Macedonia Utara menyemak Bab II (Langkah Pencegahan). Kini, Malaysia bekerjasama dengan Argentina untuk membuat semakan terhadap Vanuatu.

Malaysia, yang sebelum ini menyemak Bab V, kini meneliti Bab II (Langkah Pencegahan), manakala Argentina menilai Bab IV. Usaha ini menunjukkan komitmen berterusan Malaysia terhadap kolaborasi antarabangsa dalam membanteras rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan agensi utama bagi hal-hal berkaitan UNCAC di Malaysia. SPRM aktif menyertai platform antarabangsa UNCAC seperti Kumpulan Kerja Antara Kerajaan Terbuka mengenai Pemulihan Aset dan Pencegahan “Open-ended Intergovernmental Working Groups on Asset Recovery and Prevention of Corruption”, “Implementation Review Group (IRG)”, dan “Conference of the States Parties.”

Selain itu, pegawai SPRM sering bertindak sebagai penceramah dan ahli panel serta membuat sumbangan aktif dalam topik bertema yang dibincangkan semasa mesyuarat tersebut, sekali gus memperlihatkan kehadiran kukuh Malaysia dalam perbincangan global berkaitan antirasuah.

Daripada semakan UNCAC, Malaysia menerima 22 syor yang bertujuan memperkukuh rangka kerja undang-undang, institusi, dan proses berkaitan langkah pencegahan, jenayah, Kerjasama antarabangsa, dan pemulihan asset.

Antara syor khusus yang diketengahkan oleh penyemak UNCAC dan telah diambil tindakan oleh Malaysia termasuk menggubal strategi nasional antirasuah yang bersepadu, meningkatkan kebebasan pihak berkuasa anti-rasuah, dan memperkukuh akauntabiliti korporat.

Sebagai respons terhadap syor tersebut, Malaysia melancarkan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019–2023 selaras dengan Artikel 5 UNCAC. Pelan komprehensif ini menumpukan kepada pengurangan risiko rasuah dalam sektor kritikal seperti tadbir urus politik, perolehan awam, tadbir urus korporat, penguatkuasaan undang-undang dan integriti kehakiman.

Berdasarkan inisiatif ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperkenalkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028, yang menggariskan lima strategi dan 60 sub-strategi untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun merangkumi pendidikan, akauntabiliti awam, suara rakyat, penguatkuasaan dan insentif.

Di bawah Artikel 6, UNCAC Malaysia sedang menyemak semula keperluan pelantikan dan pemecatan Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi memastikan peranan ini dilihat lebih bebas dan telus. Di samping itu, usaha sedang dijalankan untuk mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM bagi memberi SPRM kebebasan dan autonomi operasi yang lebih kukuh termasuk kawal selia terhadap hal ehwal kakitangan.

Dalam aspek jenayah dan penguatkuasaan undang-undang (Bab III UNCAC), Malaysia telah meminda Akta SPRM 2009 dengan memperkenalkan peruntukan liabiliti korporat (Seksyen 17A) yang berkuat kuasa pada Jun 2020. Peruntukan ini menjadikan Syarikat bertanggungjawab terhadap kesalahan rasuah yang dilakukan oleh pekerja atau individu berkaitan, selaras dengan Artikel 26 UNCAC mengenai liabiliti badan perundangan.

Sepanjang pelaksanaan reformasi ini, Malaysia mengutamakan keterlibatan agensi kerajaan, ahli Parlimen, organisasi masyarakat sivil, institusi akademik, dan pihak berkepentingan antarabangsa. Pendekatan kolaboratif ini memastikan reformasi yang dilaksanakan adalah praktikal, mendapat sokongan luas, dan sejajar dengan keutamaan negara serta piawaian UNCAC.

Seiring dengan usaha-usaha membanteras rasuah, pelaksanaan berterusan syor UNCAC dan penglibatan aktif di peringkat antarabangsa mencerminkan komitmen yang jelas terhadap integriti dan pembaharuan. Walaupun cabaran masih wujud, pengukuhan kerangka institusi, reformasi polisi dan undang-undang, usaha membudayakan ketelusan dan tata kelola baik, Malaysia berpotensi muncul sebagai peneraju serantau dan antarabangsa dalam usaha berterusan membasmi rasuah.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

RASIDAH BINTI ABDUL KARIM
Rasidah binti Abdul Karim
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

MAT YUNUS BIN SABRI