fb fb fb fb fb

Budayakan beg kitar semula di mana-mana

Contoh beg kitar semula

SAUDARA PENGARANG

Malaysia telah mengorak langkah bagi menangani isu lambakan sisa plastik sekali guna dengan melancarkan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018–2030. Usaha ini dilihat sebagai titik tolak ke arah perubahan yang lebih mampan dalam pengurusan sisa pepejal.

Menurut kajian komposisi sisa pepejal yang dijalankan oleh SWCorp pada tahun 2024, rakyat Malaysia menghasilkan sebanyak 13.8 juta tan sisa plastik setahun. Angka ini bukan sahaja membimbangkan, malah meletakkan Malaysia sebagai negara kelima tertinggi di dunia dalam penggunaan plastik sekali guna.

Realiti ini mencerminkan betapa mendalamnya kebergantungan masyarakat kita terhadap plastik dalam kehidupan seharian.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, turut memaklumkan bahawa kerajaan merancang untuk menggubal satu kerangka dasar dan perundangan menyeluruh peringkat nasional bagi menangani pencemaran plastik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Langkah ini penting bagi memperkukuh dasar sedia ada serta memastikan perubahan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan. Salah satu punca utama yang dikenal pasti ialah sikap dan tabiat pengguna.

Plastik sekali guna telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup moden kerana ia murah, mudah dan boleh didapati di mana-mana. Namun, kemudahan ini datang dengan harga yang tinggi terhadap alam sekitar.

Kini, kerajaan mencadangkan untuk menaikkan caj beg plastik sekali guna daripada RM0.20 kepada RM0.50. Tujuan utama bukan untuk membebankan pengguna, tetapi sebagai satu bentuk ‘dorongan’ untuk mereka beralih kepada alternatif yang lebih mesra alam, seperti beg kitar semula.

Walaupun inisiatif ini telah menunjukkan hasil yang positif di pasar raya besar, namun perubahan tingkah laku pengguna di pusat penjaja dan pasar awam masih rendah. Kajian menunjukkan bahawa 62.3 peratus pengguna masih tidak membawa beg sendiri, manakala 57.3 peratus pengguna sanggup membayar caj RM0.20 untuk mendapatkan beg plastik.

Ini menunjukkan wujudnya kebergantungan dan kurangnya kesedaran mengenai impak jangka panjang penggunaan plastik terhadap alam sekitar. Lebih membimbangkan, ramai pengguna lebih bergantung kepada inisiatif peniaga seperti penyediaan beg kertas atau kotak, berbanding membawa beg sendiri.

Kebergantungan ini membuktikan perlunya pendidikan dan pendedahan berterusan kepada masyarakat tentang kepentingan peranan individu dalam penjagaan alam sekitar.

Media massa dan platform digital dilihat sebagai alat penting dalam menyebarkan maklumat, menanam nilai dan membentuk kesedaran tentang isu ini. Kempen dan hebahan yang berterusan mampu mengubah minda dan sikap masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal menjadi pengguna utama pada masa hadapan.

Pengguna juga menyatakan sokongan terhadap polisi yang lebih ketat dan kenaikan caj sebagai langkah berkesan untuk mengawal penggunaan plastik. Namun begitu, inisiatif seperti ini tidak seharusnya terhad kepada pasar raya sahaja. Lokasi-lokasi seperti kedai runcit, gerai makanan, pasar malam dan pusat penjaja juga perlu diperkasakan dengan dasar dan galakan yang sama.

Untuk mencapai sifar penggunaan plastik, kita tidak boleh bersikap selektif. Penggunaan beg kitar semula harus menjadi norma baharu di semua peringkat tanpa mengira lokasi atau jenis premis.

Semua pihak, pengguna, peniaga, penggubal dasar dan pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan masing-masing. Sebagaimana kita boleh membiasakan diri untuk membawa telefon bimbit ke mana sahaja, tidak mustahil untuk membiasakan diri membawa beg kitar semula setiap kali keluar rumah.

Perubahan kecil seperti ini, jika dilakukan secara konsisten, akan memberikan impak besar terhadap usaha menjaga kelestarian alam sekitar negara.

Alam sekitar ini bukan warisan nenek moyang kita, tetapi pinjaman daripada anak cucu kita. Maka, tanggungjawab untuk memeliharanya bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata, tetapi perlu digalas oleh setiap individu dalam masyarakat.

Langkah kecil oleh setiap individu, apabila digabungkan, mampu membawa perubahan besar kepada alam sekitar dan masa depan negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Siti Nazziera Mokhtar
Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC)
Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

ROSLINA BINTI DIN