SAUDARA PENGARANG
Tatkala ribuan pelajar di seluruh negara menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai antara mereka berada dalam persimpangan penting untuk menentukan arah tuju masa depan. Dalam pelbagai pilihan tersedia, satu laluan kerjaya yang terus menawarkan kestabilan, kepelbagaian dan prospek peningkatan kerjaya ialah bidang perakaunan.
Meskipun bidang ini sering dikaitkan dengan kerja mengira dan menyusun buku akaun, realitinya perakaunan moden merupakan satu cabang profesional yang dinamik dan berperanan penting dalam mencorakkan ekonomi negara. Ia merangkumi pelbagai aspek seperti strategi korporat, pengurusan risiko, tadbir urus organisasi, pelaporan kelestarian, serta transformasi digital.
Perakaunan kini bukan sekadar mengenai angka semata-mata, tetapi lebih daripada itu. Perakaunan adalah berkaitan dengan membuat keputusan bijak, memastikan ketelusan kewangan, menyokong pertumbuhan perniagaan dan menegakkan etika serta integriti dalam pelaporan kewangan.
Bidang perakaunan sering digelar sebagai “bahasa perniagaan” kerana ia menyediakan asas penting dalam membuat keputusan kewangan yang rasional dan berhemah. Setiap organisasi sama ada syarikat multinasional, perniagaan kecil dan sederhana, agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan, memerlukan profesional perakaunan untuk mengurus rekod kewangan, memastikan pematuhan undang-undang dan memberikan panduan strategik berdasarkan data kewangan.
Dalam dunia perniagaan yang semakin kompleks dan saling berhubung, akauntan bukan sahaja perlu menguasai prinsip perakaunan tempatan, tetapi juga memahami piawaian antarabangsa serta mampu berfungsi dalam persekitaran global. Tambahan pula, tumpuan semasa terhadap tadbir urus korporat, ketelusan dan amalan perniagaan yang lestari menjadikan kerjaya ini semakin relevan dan signifikan.
Salah satu daya tarikan utama bidang perakaunan ialah peluang kerjaya yang luas dan pelbagai. Berbeza dengan tanggapan umum yang menganggap kerja akauntan terhad kepada tugasan pejabat, realitinya profesion ini menawarkan pelbagai cabang pengkhususan seperti perundingan cukai, audit dalaman dan luaran, perakaunan forensik, pengurusan risiko, analisis kewangan, perakaunan pengurusan dan pelaporan kelestarian.
Setiap bidang ini memerlukan set kemahiran berbeza dan membolehkan individu memilih laluan kerjaya mengikut minat dan kebolehan masing-masing. Misalnya, seseorang yang gemar menganalisis data mungkin sesuai dalam bidang audit atau pengurusan risiko, manakala mereka yang memiliki kemahiran komunikasi yang baik boleh berjaya dalam bidang perundingan atau kewangan korporat.
Lebih menarik, kerjaya akauntan adalah kerjaya yang “boleh dibawa ke mana-mana” dengan kelayakan profesional yang diiktiraf, akauntan Malaysia boleh berkhidmat bukan sahaja dalam negara, malah juga di pusat kewangan antarabangsa seperti Singapura, London, Dubai atau Sydney.
Di Malaysia, permintaan terhadap akauntan bertauliah kekal tinggi. Menurut unjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, negara memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 akauntan bertauliah menjelang tahun 2030. Namun, jumlah graduan semasa masih belum mencukupi untuk memenuhi sasaran ini, sekali gus membuka peluang besar kepada pelajar baharu untuk menyertai bidang yang sedang berkembang pesat.
Tambahan pula, kemajuan teknologi telah mengubah kaedah kerja dalam profesion ini secara menyeluruh. Sistem automasi, perisian berasaskan awan (cloud), serta aplikasi analitik data kini menjadi kebiasaan dalam pengurusan kewangan. Oleh itu, majikan kini lebih cenderung memilih calon yang bukan sahaja mahir dalam prinsip perakaunan tradisional tetapi juga celik teknologi digital.
Kemahiran dalam penggunaan perisian seperti SQL, AutoCount, Xero dan Microsoft Excel serta kefahaman asas tentang sistem ERP menjadi kelebihan besar dalam pasaran kerja masa kini. Selain itu, perkembangan peraturan dan undang-undang semasa juga meningkatkan keperluan terhadap kepakaran dalam bidang audit kewangan, pematuhan korporat serta pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Dari segi hala tuju kerjaya, bidang perakaunan menawarkan kepelbagaian laluan. Salah satu laluan yang terkenal ialah melalui amalan awam, di mana akauntan bekerja dengan firma audit dan perakaunan seperti PwC, EY, Deloitte dan KPMG, termasuk firma tempatan berskala sederhana dan kecil. Dalam sektor ini, akauntan menyediakan perkhidmatan audit, siasatan forensik, rundingan perniagaan dan nasihat cukai. Mereka yang memilih persekitaran ini selalunya sukakan cabaran dan ingin mendapat pendedahan kepada pelbagai industri.
Sebaliknya, ramai juga yang memilih laluan kerjaya dalam sektor korporat, berkhidmat di jabatan kewangan syarikat sebagai penganalisis kewangan, pegawai bajet, juruaudit dalaman atau ketua pegawai kewangan (CFO). Peranan-peranan ini wujud dalam pelbagai industri seperti pembuatan, perbankan, telekomunikasi, pendidikan dan sebagainya.
Selain itu, sektor awam juga menawarkan prospek kerjaya yang kukuh, terutamanya di agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Audit Negara dan Jabatan Akauntan Negara dan agensi-agensi kerajaan yang lain. Bagi individu yang meminati pendidikan dan penyelidikan, bidang akademik di universiti dan kolej merupakan satu pilihan yang bermakna untuk membina ilmu serta melahirkan generasi akauntan berkaliber.
Bagi lepasan SPM yang ingin melangkah ke bidang perakaunan, terdapat beberapa laluan akademik yang boleh diambil. Antara pilihan utama ialah program prauniversiti seperti STPM, Matrikulasi, A-Level, atau asasi dalam perniagaan dan perakaunan; biasanya mengambil masa satu hingga dua tahun sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.
Alternatifnya, pelajar juga boleh memilih untuk mengikuti Diploma Perakaunan yang ditawarkan oleh institusi seperti UiTM, politeknik bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) serta kolej swasta. Program diploma ini biasanya mengambil masa dua hingga tiga tahun dan membolehkan pelajar menyertai dunia pekerjaan lebih awal atau menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda melalui pemindahan kredit.
Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) merupakan laluan akademik paling komprehensif bagi melahirkan akauntan bertauliah. Institusi seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sunway Universiti, Monash Universiti Malaysia dan Nottingham Universiti Malaysia menawarkan program yang diiktiraf oleh MIA serta memberikan pengecualian untuk peperiksaan profesional tertentu.
Graduan daripada program ini boleh menduduki Peperiksaan Kelayakan MIA dan setelah memperoleh pengalaman kerja relevan selama sekurang-kurangnya tiga tahun, mereka layak memohon keahlian MIA sebagai Akauntan Bertauliah Malaysia (CA Malaysia).
Namun begitu, untuk meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan, pelajar digalakkan untuk melanjutkan pengajian dalam program profesional. Antara badan profesional yang terkenal termasuk ACCA (Association of Chartered Certified Accountants), CIMA (Chartered Institute of Management Accountants), CPA Australia, ICAEW (Institute of Chartered Accountants in England and Wales), serta MICPA (Malaysian Institute of Certified Public Accountants) yang bekerjasama dengan CAANZ (Chartered Accountants Australia and New Zealand).
Setiap badan ini menawarkan kurikulum dan struktur peperiksaan yang tersendiri. Sebagai contoh, ACCA terkenal dengan kurikulumnya yang menyeluruh dan fleksibel, merangkumi perakaunan kewangan, audit, cukai, etika dan pengurusan. CIMA pula lebih sesuai untuk mereka yang berminat dalam perancangan strategik dan pengurusan perniagaan. ICAEW amat dihormati di negara-negara Komanwel kerana penekanan terhadap latihan yang ketat dan pengetahuan mendalam dalam bidang audit.
MICPA-CAANZ pula sesuai bagi pelajar yang bercita-cita bekerja di Malaysia dan Australia, memandangkan ia memberikan pengiktirafan dua hala. Sesiapa yang berminat dengan pensijilan profesional ini perlu menduduki peperiksaan tertentu dan melengkapkan tempoh pengalaman kerja yang ditetapkan, biasanya selama tiga tahun.
Pemilihan antara ijazah atau sijil profesional bergantung kepada matlamat dan kesediaan individu. Pensijilan profesional menawarkan laluan pantas ke arah kelayakan tetapi memerlukan disiplin kendiri yang tinggi. Sebaliknya, ijazah sarjana muda memberikan asas akademik yang kukuh, pengalaman universiti yang menyeluruh serta pendedahan kepada penyelidikan dan projek berkumpulan. Gabungan kedua-dua laluan ini iaitu memiliki ijazah serta kelayakan profesional adalah ideal untuk prospek kerjaya jangka panjang.
Kemahiran juga memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan dalam bidang ini. Bertentangan dengan kepercayaan umum, pelajar tidak perlu menjadi pakar matematik untuk berjaya dalam perakaunan. Lebih penting ialah keupayaan berfikir secara logik, perhatian terhadap perincian dan kebolehan mengikuti prosedur secara sistematik. Penguasaan dalam subjek seperti Prinsip Perakaunan, Matematik, Bahasa Inggeris, Ekonomi atau Perdagangan amat membantu.
Di samping itu, kemahiran dalam perisian komputer seperti Microsoft Excel, SQL, QuickBooks dan Sage UBS menjadi satu kelebihan. Akauntan masa kini juga dijangka mahir dalam analitik data dan teknologi visualisasi seperti Power BI atau Tableau.
Dalam dunia perniagaan yang semakin menekankan kelestarian, pengetahuan dalam pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kerangka pelaporan lestari juga semakin penting. Akauntan kini tidak lagi sekadar merekod transaksi, tetapi juga perlu menyumbang kepada pembuatan keputusan strategik dan pengurusan reputasi korporat.
Menyedari bahawa pendidikan dalam bidang ini melibatkan kos agak tinggi, pelbagai bantuan kewangan disediakan untuk pelajar Malaysia. Biasiswa yang ditawarkan oleh JPA, MARA, Yayasan Khazanah, serta badan profesional seperti ACCA dan ICAEW dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar yang layak.
Yayasan Peneraju menawarkan tajaan penuh bagi pelajar Bumiputera yang ingin melanjutkan pengajian dalam program seperti ACCA, ICAEW, CPA Australia, CIMA dan MICPA-CAANZ. Ini termasuk yuran pengajian, yuran peperiksaan, serta elaun sara hidup sejajar dengan usaha meningkatkan bilangan akauntan profesional di negara ini.
Kesimpulannya, perakaunan bukan sekadar kerjaya yang melibatkan angka, tetapi satu kerjaya yang berasaskan integriti, kebertanggungjawaban dan pengaruh strategik. Dalam era ekonomi digital yang serba pantas dan penuh cabaran, permintaan terhadap akauntan yang beretika, berkemahiran tinggi dan celik teknologi dijangka terus meningkat.
Bagi lepasan SPM yang sedang merancang masa depan, bidang perakaunan menawarkan bukan sahaja kestabilan dan fleksibiliti, tetapi juga peluang untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara. Sama ada anda bercita-cita menjadi CEO atau CFO sebuah syarikat antarabangsa, membuka firma sendiri, menyumbang kepada sektor awam atau menjadi pendidik, perakaunan menyediakan landasan yang kukuh untuk merealisasikan impian tersebut.
Masa depan anda bermula hari ini. Oleh yang demikian, rancanglah laluan anda dengan yakin kerana bidang perakaunan bukan sekadar satu pekerjaan, tetapi satu panggilan untuk memimpin dengan amanah dan memberi impak yang berkekalan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Yazkhiruni Yahya
Pensyarah Kanan Jabatan Perakaunan
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya
E-mel: