
SIBU, 24 Ogos – Seorang wanita warga emas kerugian RM317,000 selepas terpedaya dengan tawaran rawatan tradisional atau bomoh dalam satu kejadian di sini, Julai lalu.
- Mangsa didatangi dua wanita asing di pasar, kemudian dibawa ke sebuah kedai yang didakwa milik saudara.
- Seorang suspek mendakwa boleh membaca wajah dan meramalkan anak mangsa akan mengalami kemalangan.
- Suspek menawarkan upacara perlindungan serta meminta wang tunai dan barang kemas, mangsa menyerahkan mengikut arahan.
- Polis menasihatkan berhati-hati, jangan mudah terpedaya; hubungi NSRC di talian 997 dan semak Semak Mule JSJK.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, wanita berusia dalam lingkungan 70-an itu membuat laporan polis semalam, selepas menyedari dirinya ditipu.
Menurutnya, mangsa mendakwa didatangi seorang wanita tidak dikenali di kawasan Pasar Sibu pada 19 Julai lalu.
“Berdasarkan loghat percakapannya, wanita tersebut disyaki warga China dan bertanyakan tentang kedai ubat tradisional Cina bagi mendapatkan ubat untuk ibu mertuanya.
“Kemudian, seorang lagi wanita dengan loghat yang sama menghampiri mangsa dan menawarkan untuk membawa mereka ke sebuah kedai yang didakwa milik saudaranya.
“Mangsa kemudian dibawa menaiki sebuah kenderaan, sebelum seorang suspek mendakwa mampu membaca wajahnya dan memberitahu bahawa anak mangsa akan mengalami kemalangan jalan raya serius pada hari berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Suspek seterusnya menawarkan satu bentuk upacara perlindungan dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai serta barang kemas miliknya bagi tujuan tersebut.
“Mangsa yang ketakutan telah mempercayai kata-kata suspek dan mengikut arahan yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan bimbang akan keselamatan anaknya, mangsa menyerahkan barang kemas serta wang tunai kepada suspek, dengan anggaran keseluruhan kerugian sebanyak RM317,000.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai serta berhati-hati dengan individu yang tidak dikenali yang menawarkan rawatan tradisional, ritual atau upacara buang sial yang meminta wang tunai atau barang kemas.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan ugutan atau janji yang boleh menimbulkan rasa takut atau kebimbangan sehingga menyebabkan mereka menjadi mangsa penipuan.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut berkaitan kes penipuan boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
Orang ramai juga boleh menyemak pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang Semak Mule Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia.