Vesel nelayan asing diklon, Maritim Kelantan tahan 14 kru Vietnam

14 kru warga Vietnam berusia 17 hingga 49 tahun ditahan/Foto RTM Kelantan

PASIR PUTEH, 14 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan menahan sebuah vesel nelayan asing yang diklon menyerupai bot tempatan bernilai RM400,000, sekali gus menahan 14 kru warga Vietnam dalam operasi di perairan Kelantan, Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kru berusia antara 17 hingga 49 tahun; tiada dokumen pengenalan diri, lesen atau dokumen sah.
  • Vesel gagal berhenti, cuba melarikan diri dan berjaya dipintas kira-kira 85 batu nautika timur Muara Tok Bali.
  • Hampir satu tan hasil laut dirampas; kes dibawa ke Pejabat Maritim untuk siasatan mengikut Akta Imigresen dan Akta Perikanan.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kru berusia antara 17 hingga 49 tahun, manakala vesel terbabit gagal mengemukakan dokumen serta lesen yang sah.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata vesel berkenaan ditahan kira-kira 85 batu nautika timur Muara Tok Bali pada 6.32 petang selepas dikesan mencurigakan ketika rondaan operasi rutin.

“Vesel berkenaan gagal berhenti selepas diarahkan, sebaliknya bertindak melarikan diri sebelum berjaya dipintas dan ditahan,” katanya pada sidang media di Pasir Puteh hari ini.

Pengarah Maritim menunjukkan vesel nelayan asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kelantan/Foto RTM Kelantan

Katanya, pemeriksaan turut mendapati kesemua tekong dan awak-awak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Turut dirampas hasil laut yang dianggarkan seberat hampir satu tan,” katanya.

Menurut Kamal, siasatan mendapati vesel berkenaan merupakan bot nelayan asing yang sengaja diklon menyerupai vesel nelayan tempatan sebagai teknik penyamaran bagi mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata kejayaan itu hasil rondaan menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris.

Kesemua kru bersama vesel dan hasil rampasan dibawa ke Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.