Tuduhan bunuh: Empat sekeluarga mengaku tidak bersalah

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

TAIPING, 3 April – Empat sekeluarga termasuk ibu kandung didakwa atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh: M. Savathri, M. Satis Kumar, S.C. Veeraletchumy dan M. Murali didakwa.
  • Didakwa mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34; sebutan semula pada 15 Mei untuk laporan DNA, forensik dan bedah siasat.
  • Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dibuat di Mahkamah Majistret di sini hari ini membabitkan M. Savathri, 28 tahun, bersama suaminya yang juga bapa tiri mangsa, M. Satis Kumar, 27 tahun.

Turut didakwa ialah nenek tiri mangsa, S.C Veeraletchumy, 53 tahun dan datuk tiri mangsa, M. Murali, 49 tahun.

Kesemua tertuduh masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret R. Prabakaran.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan bunuh dengan mengakibatkan kematian ke atas seorang kanak-kanak dikenali sebagai Thanavitha di sebuah rumah di Taman Sungai Mas, di daerah Larut Matang dan Selama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Sebutan semula kes pada 15 Mei ini bagi menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA), forensik dan bedah siasat.