Polis Melaka tumpaskan sindiket penipuan khidmat seks dalam talian

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit (dua, kiri) menunjukkan barangan yang dirampas melibatkan sindiket penipuan khidmat seks dalam talian/ RTM

BATU BERENDAM, 21 Mac – Seramai 15 suspek ditahan Polis Melaka dipercayai terlibat sindiket penipuan dalam talian melibatkan penipuan khidmat seks tidak wujud pada 19 Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket menggunakan aplikasi Telegram tawarkan katalog khidmat seks palsu, mangsa bayar tetapi perkhidmatan tidak wujud.
  • Anggota sindiket terdiri daripada lelaki tempatan dan warga asing termasuk warga China yang masuk dengan pas pelancong.
  • Polis merampas komputer, telefon bimbit dan pasport; kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada lelaki warga tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warganegara China berusia antara 26 hingga 49 tahun.

Katanya, serbuan dilakukan lebih kurang pukul 6 petang di sebuah rumah teres dua tingkat, Kampung Lapan, Tengkera.

Penipuan dalam talian melalui aplikasi “Telegram” itu menyasarkan warganegara Taiwan.

Siasatan awal mendapati ahli sindiket berkenaan berada di Melaka sejak awal bulan Mac lalu dan masuk ke Malaysia dengan menggunakan pas pelancong.

“Modus operandinya mereka akan hubungi atau pelanggan nanti datang hubungi mereka dan mereka akan hantar katalog kepada warganegara Taiwan untuk menawarkan khidmat seks tetapi setelah bayaran dibuat perkhidmatan itu tiada, jadi itu yang dikatakan penipuan tidak wujud,”

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, di sini.

Pihaknya turut merampas 13 unit komputer desktop, 40 unit telefon bimbit, 13 papan kekunci komputer, 13 tetikus komputer, 13 unit adapter komputer, sebuah unit alat kawalan jauh rumah serta dua pasport dokumen perjalanan dengan nilai anggaran rampasan berjumlah RM 85,000.

Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 20 hingga 23 Mac.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63.