
KUALA LUMPUR, 16 Januari – Polis menahan empat warga Iran, termasuk seorang wanita, disyaki terlibat dengan geng pukau yang melakukan samun dan kecurian membabitkan kerugian lebih RM30,000 dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang, Isnin lepas.
- Empat warga Iran ditahan disyaki anggota geng pukau yang melakukan samun dan kecurian membabitkan kerugian lebih RM30,000.
- Siasatan mendapati suspek berinteraksi dengan mangsa tentang mata wang asing sebelum mangsa menjadi khayal dan dicuri barangan.
- Empat laporan polis diterima, suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 379 dan 395 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata suspek berusia antara 18 hingga 35 tahun, dengan dua daripada mereka merupakan adik-beradik manakala dua lagi mempunyai hubungan persaudaraan.
Katanya, polis merampas wang tunai dan barang kemas dipercayai milik mangsa serta suspek dalam serbuan tersebut.
“Siasatan awal mendapati suspek biasanya berinteraksi dengan mangsa, termasuk berbincang isu berkaitan mata wang negara asing, sebelum mangsa dipercayai tiba-tiba khayal. Suspek kemudian akan melarikan wang atau barangan berharga mangsa. Sasaran mereka termasuk pelancong asing dan warga tempatan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.
Fadil berkata terdapat empat laporan polis berkaitan geng berkenaan, dengan kejadian terbaru pada 9 Januari membabitkan seorang mangsa warga Sri Lanka.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dijangka didakwa di mahkamah pada minggu hadapan.