PGA tahan empat lelaki, rampas peralatan lombong emas bernilai lebih RM1 juta

Foto Pasukan Gerakan Am (PGA)

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat lelaki dan mengambil tindakan terhadap peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan perlombongan emas secara haram bernilai kira-kira RM1.135 juta di Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ditemukan dua excavator, dua palong, dua mesin penyedut dan dua genset dipercayai digunakan bagi aktiviti perlombongan emas.
  • Seorang individu menyerahkan salinan permit pengeluaran pasir bertarikh 31 Jan 2024; aktiviti disyaki salah guna permit.
  • Tiada mineral atau emas dirampas; kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001 dan peralatan diserahkan kepada PTG Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu dilakukan Pasukan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA menerusi Op Gali Mega (Zon Timur) pada kira-kira 4 petang berdasarkan maklumat risikan mengenai kegiatan mengorek pasir bagi tujuan perlombongan emas secara haram.

“Hasil pemeriksaan, pasukan menemukan empat lelaki di hadapan sebuah bangsal dalam keadaan mencurigakan, terdiri daripada tiga warga Malaysia dan seorang warga China.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan menemukan dua unit excavator, dua unit palong, dua unit mesin penyedut dan dua unit genset yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti perlombongan emas,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pemeriksaan turut menemukan 51 keping karpet rumput pelbagai saiz dan tiga gulung karpet rumput yang disyaki berkaitan dengan aktiviti berkenaan.

Salah seorang individu terbabit turut menyerahkan salinan permohonan permit mengeluarkan pasir di Sungai Nenggiri, Mukim Kuala Betis, yang bertarikh 31 Jan 2024.

“Berdasarkan hasil pemeriksaan awal, aktiviti di lokasi tersebut disyaki melibatkan salah guna permohonan atau permit berkaitan pengeluaran pasir bagi menjalankan aktiviti perlombongan emas,” tambah kenyataan itu.

Kesemua empat individu ditahan bagi membantu siasatan, manakala semua peralatan yang disyaki berkaitan aktiviti berkenaan diambil tindakan dan diserahkan kepada PTG Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang.

Pecahan nilai rampasan membabitkan, dua excavator dianggarkan RM1 juta, dua palong (RM60,000), dua mesin penyedut (RM25,000), dua genset (RM25,000), 51 keping karpet rumput (RM10,200) dan tiga gulung karpet rumput (RM15,000).

Bagaimanapun tiada mineral atau emas dirampas dalam tindakan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001 kerana aktiviti berkenaan disyaki melibatkan perlombongan emas tanpa lesen atau pajakan yang sah serta salah guna dokumen atau permohonan berkaitan pengeluaran pasir.

Siasatan lanjut akan dijalankan pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan status sebenar aktiviti berkenaan dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab termasuk pemilik, pengendali atau pihak yang mempunyai kepentingan terhadap jentera dan peralatan yang ditemukan.

Operasi berkenaan turut disertai Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman serta pegawai penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.