Penuntut UMPSA ditahan, disyaki hina Islam di media sosial

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang penuntut UMPSA ditahan bagi membantu siasatan susulan dakwaan menghina Islam di media sosial.
  • Kertas siasatan dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  • UMPSA tegas tidak akan berkompromi; tindakan tatatertib dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

KUANTAN, 25 Februari – Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan polis bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pelajar lelaki terbabit ditahan awal pagi tadi.

Menurut beliau, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap penuntut terbabit hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama.

Suspek juga disiasat Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut, atau mengganggu orang lain termasuk kandungan jelik.

Semalam, tular gambar kaki seorang lelaki yang didakwa penuntut UMPSA yang memijak al-Quran dan tangkap layar komen lelaki itu menghina Nabi Muhammad SAW.

Sementara itu, UMPSA memandang serius penyebaran kandungan menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial oleh individu yang didakwa pelajar universiti terbabit.

UMPSA menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyebaran kandungan palsu atau berbentuk hasutan kebencian yang boleh mencetuskan ketegangan kaum serta menggugat keharmonian awam.

Menurut kenyataan Pusat Komunikasi Korporat UMPSA, sentimen 3R tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti.

Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024.