
AYER KEROH, 25 Februari– Seorang peniaga lembu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian seorang penganggur tanpa niat, berikutan ketidakpuasan hati terhadap mangsa kira-kira 10 tahun lalu.
- Peniaga lembu, M. Mahesawaran, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian tanpa niat.
- Mahkamah mengambil kira fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pendakwaan; hukuman bermula dari tarikh tangkapan semula 3 Mac 2022.
- Mangsa, S. Manikumar, dilaporkan hilang selepas dihantar pesanan ringkas memaklumkan diserang; rangka dan kad pengenalan ditemui di lokasi.
- Peguam memohon hukuman ringan kerana penyesalan tertuduh dan tanggungan keluarga; pendakwaan menekankan kepentingan awam dalam penguatkuasaan undang-undang.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, M. Mahesawaran, 40 tahun, dan mensabitkannya dengan pertuduhan.
Mahkamah turut mengambil kira keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh serta hujah pendakwaan dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap semula pada 3 Mac 2022.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian S. Manikumar, 35 tahun, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang boleh membawa maut di kawasan hutan kelapa sawit berhampiran Empangan Jus, Selandar, Jasin pada 22 Mei 2016 antara pukul 10.30 malam hingga 23 Mei 2016, kira-kira pukul 9.50 pagi.
Pertuduhan itu adalah kematian tanpa niat membunuh secara langsung, di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Manikumar dilaporkan hilang oleh abangnya pada 23 Mei 2016 selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar malam sebelumnya.
Mangsa sempat menghantar khidmat pesanan ringkas memaklumkan beliau diserang beberapa lelaki.
Polis kemudian menahan tertuduh bersama tujuh lelaki lain bagi membantu siasatan sebelum membawa mereka ke lokasi kejadian dan menemui rangka manusia bersama kad pengenalan mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh, sejajar dengan hasrat Parlimen dalam menggubal undang-undang Seksyen 304(a) KK.
Peguam S Daniel pula merayu hukuman ringan, memohon pertimbangan kerana tertuduh telah menyesal, berada dalam reman sejak 3 Mac 2022 serta mempunyai tanggungan empat anak sementara isteri hanya bekerja sebagai tukang cuci di restoran.