
SUNGAI PETANI, 26 Mac- Lima saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan kes penemuan mayat tiga beranak dalam keadaan tragis di sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok, di sini.
- Mayat pasangan suami isteri ditemukan dengan kepala dipisahkan, dibungkus permaidani dan kain dapur dalam rumah.
- Mayat menunjukkan pembengkakan dan bau, dipercayai meninggal lebih 48 jam sebelum ditemukan.
- Anak lelaki 29 ditemui di bilik atas dengan kesan kelar di leher; suspek dipercayai anak dan dipercayai telah meninggal dunia.
- Tiada kesan pecah masuk; pintu dikunci dari dalam; senjata tajam dan gergaji ditemui; kes disiasat mengikut Seksyen 302.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima maklumat daripadan orang awam yang memaklumkan pasangan suami isteri berkenaan tidak kelihatan sejak tiga hari lalu sebelum polis memecah masuk ke dalam rumah tersebut tengah malam tadi.
Beliau berkata mayat pasangan suami isteri itu ditemukan dalam keadaan terpisah kepala dan badan serta dibungkus menggunakan permaidani dan kain dapur di dalam rumah berkenaan.
Menurutnya, keadaan mayat yang telah membengkak dan berbau menunjukkan kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam sebelum ditemukan.
Pasangan terbabit dikenal pasti sebagai Zikri Abdul Rahman, 65, dan isterinya, Suraya Man, 53.
Mayat anak lelaki mereka, Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29, pula ditemukan di bilik bahagian atas rumah dua tingkat itu dengan kesan kelar di leher.
Hanyan berkata siasatan awal mendapati suspek yang juga anak kepada pasangan itu dipercayai telah meninggal dunia selepas kedua-dua mangsa ditemukan maut.
“Kita percaya kejadian berlaku antara pukul 8.00 malam, Isnin lalu sehingga penemuan mayat dan siasatan awal menjurus kepada kes bunuh.
“Terdapat mayat dipotong dan dipercayai cuba dilupuskan.
“Kita juga percaya kejadian berlaku di lokasi lain sebelum mayat dikumpulkan di rumah ini, selain pelaku mungkin telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, tiada kesan pecah masuk ditemui dan pintu rumah didapati berkunci dari dalam.
Polis turut menemui beberapa senjata tajam termasuk gergaji yang dikumpulkan berhampiran mayat ketiga.
Maklumat awal mendapati lelaki berusia 29 tahun itu pernah mengalami gangguan mental sekitar 2018 hingga 2019, namun tidak pernah menimbulkan gangguan kepada masyarakat setempat.
Seorang lagi anak mangsa wanita yang berkhidmat sebagai anggota tentera dilaporkan baru pulang ke Johor pada Isnin lalu selepas menghabiskan cuti di rumah berkenaan.
Semua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.