Lima individu ditahan terlibat judi ‘online’ sasar pelanggan China

Serbuan yang dijalankan oleh Bahagian D7 di sekitar Bukit Jalil berjaya menahan lima suspek terlibat kegiatan judi ‘online’

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Lima individu termasuk seorang wanita tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian (online) ketika serbuan di dua premis di sekitar Bukit Jalil di sini pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bahagian D7 JSJ IPK Kuala Lumpur menjalankan serbuan sekitar jam 1.00 tengah hari.
  • Empat warga China ditahan di sebuah kondominium, dipercayai mengurus laman sesawang perjudian dalam talian.
  • Suspek berperanan sebagai ejen yang mengurus, menganjur dan mempromosikan perjudian dalam talian mensasarkan pelanggan dari China.
  • Sindiket dipercayai aktif dua bulan, menyewa premis RM2,000 sebulan; semua warga China memasuki negara menggunakan pas pelancong.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata serbuan kira-kira 1.00 tengah hari itu dijalankan Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Beliau berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah premis pejabat di kawasan berkenaan dan menahan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun.

“Penahanan itu membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah kondominium berhampiran.

“Dalam serbuan itu, empat warga China terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun yang sedang mengurus laman sesawang perjudian turut ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Datuk Fadil berkata siasatan mendapati kesemua suspek berperanan sebagai ejen yang mengurus, menganjur serta mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian dengan menyasarkan pelanggan dari China.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak dua bulan lepas dengan menyewa premis terbabit pada kadar RM2,000 sebulan sebagai tempat operasi.

Katanya pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga China yang ditahan memasuki negara ini menggunakan pas pelancong.

“Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan lanjut. Kontinjen Kuala Lumpur melalui Bahagian D7 akan mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan perjudian haram di ibu negara,” katanya.