Dua pegawai kanan, anggota polis antara enam ditahan kes samun berkumpulan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Dua pegawai kanan dan seorang anggota polis antara enam lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun berkumpulan yang berlaku di daerah Gombak, Selangor pada 27 Februari lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi risikan membawa kepada siri tangkapan bermula 2 Mac di beberapa lokasi bagi membantu siasatan jenayah samun berkumpulan.
  • Polis merampas RM11,498, tiga kenderaan termasuk Mercedes-Benz, vest bertulis Polis, dua ketulan emas 100 gram dan 13 telefon bimbit.
  • Dua suspek masih diburu, yang ditahan direman hingga 8 Mac; siasatan dijalankan secara telus tanpa kompromi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum satu operasi khas dilancarkan bagi mengesan dan menangkap suspek terlibat.

Beliau berkata, hasil siasatan dan risikan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membawa kepada siri tangkapan bermula 2 Mac lalu di beberapa lokasi berbeza.

“Kesemua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan. Daripada jumlah tersebut, tiga merupakan penjawat awam iaitu dua pegawai kanan dan seorang anggota, manakala tiga lagi adalah orang awam, termasuk seorang yang mempunyai 20 rekod lampau,” katanya dalam kenyataan.

Datuk Shazeli berkata, kesemua suspek kini direman hingga 8 Mac bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM11,498 serta beberapa barang kes lain. Antara yang dirampas termasuk sebuah kenderaan Mercedes-Benz, sebuah Chery Omoda 5 dan sebuah van jenis Toyota Hiace,” katanya.

Menurut beliau, turut dirampas tiga helai vest bertulis ‘Polis’, dua ketulan emas seberat 100 gram dan 13 telefon bimbit pelbagai jenama.

Dalam pada itu katanya, polis kini giat mengesan dua lagi suspek yang dipercayai masih bebas berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada suspek yang telah ditahan.

Beliau menegaskan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh tanpa sebarang kompromi walaupun kes berkenaan melibatkan anggota pasukan sendiri.

“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan integriti dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya lagi.