Lapan termasuk dua beradik geng kongsi gelap didakwa membunuh

Foto Hiasan

SHAH ALAM, 4 Sept – Lapan lelaki termasuk dua beradik yang menganggotai kumpulan kongsi gelap dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam pergaduhan di Taman Alam Megah di sini, bulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
  • Didakwa membunuh Ganesan, 23, di Jalan Mandolin, Taman Alam Megah pada 25 Ogos.
  • Pertuduhan mengikut Seksyen 149; jika sabit di bawah Seksyen 302, hukuman termasuk mati atau penjara 30–40 tahun dan sebatan.
  • Ketua Polis Selangor mengesahkan pergaduhan berpunca daripada permusuhan dan perebutan kawasan antara dua kumpulan kongsi gelap.

Shaik Hasanudin Ahlauwudin, 26, dan adiknya Sheikh Mauludin, 24, serta Soulami Ahimsha, 46, S.R Harikrisnan, 42, M.K Puwaneswaran, 39, A Rhubban, 37, K. Thivagar, 29, dan R. Darvin Raj, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama dengan lapan lagi yang masih bebas sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama didakwa membunuh Ganesan, 23, di Jalan Mandolin, Taman Alam Megah di sini pada 1.59 tengah hari 25 Ogos.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni manakala tiga daripada lelaki itu diwakili peguam Navin Punj dan Nur Aida Md Zainuddin

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 13 Okt untuk sebutan semula kes.

Pada 27 Ogos, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu hingga menyebabkan seorang lelaki maut yang disyaki berpunca daripada permusuhan dan perebutan kawasan antara dua kumpulan kongsi gelap. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.