KPDN sita 199 tong LPG, premis beroperasi tanpa lesen sah

Foto KPDN

PUTRAJAYA, 8 Disember– Sebanyak 199 tong gas petroleum cecair (LPG) disita menerusi satu operasi ke atas sebuah premis tanpa nama yang beralamat di Kampung Sungai Keroh, Sepang, Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • 199 tong LPG disita dalam operasi di premis tanpa lesen di Kampung Sungai Keroh, Sepang.
  • Rampasan termasuk peralatan komunikasi, pengendalian, sebuah lori dan barangan lain bernilai RM144,427.
  • Dua warga asing tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan; pekerja ditahan untuk siasatan lanjut.
  • Tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, denda dan hukuman berat dikenakan jika sabit kesalahan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa pada 5 Januari lalu.

Selain sitaan tong LPG, operasi tersebut turut melibatkan rampasan pelbagai peralatan termasuk peralatan komunikasi, peralatan pengendalian, sebuah lori serta barangan lain yang berkaitan, dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM144,427.

Menurut kenyataan itu, ketika operasi dijalankan, dua lelaki warga asing didapati sedang memindahkan tong gas LPG daripada sebuah lori manakala seorang lelaki warga tempatan turut berada di lokasi kejadian.

“Kedua-dua warga asing terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri bagi tujuan pemeriksaan,” menurut kenyataan itu.

Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] atas kesalahan menjalankan aktiviti berurusan secara borong atau runcit serta pengendalian barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Pekerja di premis berkenaan telah ditahan dan dibawa ke pejabat untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam pada itu, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Sekiranya didapati melakukan kesalahan, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], dengan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta.

Bagi kesalahan berikutnya, individu boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi syarikat yang disabitkan kesalahan, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan, manakala bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta.