
PUTRAJAYA, 8 Januari– Bekas Panglima Tentera Darat direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya direman tiga dan enam hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
- Bekas Panglima Tentera Darat direman tujuh hari berkaitan siasatan kes rasuah rangkaian kartel tender TDM.
- Dua isteri direman masing-masing tiga dan enam hari untuk membantu siasatan SPRM.
- Pihak pembelaan minta akses peguam dan maklumkan bekas Panglima masih dalam proses pemulihan.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Terdahulu, ketiga-tiga mereka tiba di Kompleks Mahkamah Majistret Putrajaya sekitar pukul 10.00 pagi menaiki dua kenderaan milik SPRM.
Sementara itu, peguam mewakili bekas Panglima Tentera Darat berkenaan, Nizamuddin Hamid memaklumkan anak guamnya dalam keadaan belum sihat sepenuhnya dan masih dalam proses pemulihan.
Jelasnya, pihak mereka memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dan memohon kepada mahkamah agar anak guamnya mendapat akses kepada peguam semasa siasatan berjalan.