KP JAS didakwa terima suapan berkaitan laporan EIA

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 April – Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM100,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen.
  • Didakwa menerima suapan RM100,000 melalui pengurus projek untuk mempertimbangkan pengecualian EIA bagi projek Jalan Berkembar Bukit Kukus.
  • Kesalahan didakwa berlaku di pejabat Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya pada 15 Januari 2025.
  • Mahkamah benarkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin; sebutan kes ditetapkan pada 7 Mei untuk penyerahan dokumen.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Datuk Wan Abdul Latiff, 59 tahun didakwa menerima suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 daripada seorang pengarah syarikat melalui seorang pengurus projek di syarikat yang sama.

Suapan itu didakwa sebagai upah mempertimbangkan rayuan untuk pengecualian penyediaan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).

Ia bagi Permohonan Kebenaran Merancang Untuk Cadangan Membina Jalan Berkembar Bukit Kukus dan Kerja Tanah Untuk Mitigasi Di Atas Tanah Kerajaan, Jalan Bukit Kukus, Mukim 13, Daerah Timur Laut, Paya Terubong, Pulau Pinang yang dipohon oleh syarikat Geo Valley Sdn. Bhd. melalui surat bertarikh 22 November 2024.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Aras 3, Podium 2 & 3, Wisma Sumber Asli, No. 25, Persiaran Perdana Presint 4, Putrajaya pada 15 Januari 2025.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan berjumlah RM100,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh memohon pengurangan wang jaminan mengambil kira tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak dengan dua daripadanya masih melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Hakim Suzana Hussin kemudian membenarkan wang jaminan berjumlah RM40,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tersebut dipenuhi.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Mei depan untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.

Sementara itu, turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS, Norhazni Mat Sari atas enam pertuduhan melibatkan suapan berjumlah RM21,000.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua enam pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Norhazni, 59 tahun berdepan enam pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM21,000 daripada seorang pengarah syarikat yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kerja rasminya antara 18 April 2022 hingga 19 Julai 2024.

Bagi pertuduhan pertama sehingga keenam, Norhazni didakwa menerima suapan wang daripada seorang pengarah syarikat yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kerja rasminya, menerusi transaksi pindahan wang secara dalam talian ke akaun bank milik anak tertuduh.

Kesalahan tersebut melibatkan enam transaksi berbeza iaitu RM1,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua, RM2,000 bagi pertuduhan ketiga dan keempat, RM5,000 bagi pertuduhan kelima dan RM10,000 bagi pertuduhan keenam.

Ke semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Bukit Bintang antara 18 April 2022 hingga 19 Julai 2024.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Hakim Azura Alwi menetapkan jaminan berjumlah RM25,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan dokumen perjalanan dan pasport.

Mahkamah menetapkan 19 Mei depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.