Op Serkap: JIMS patahkan aktiviti seludup migran

16 warga asing ditahan dalam Op Serkap di Biawak, Sarawak.

LUNDU, 3 April – Pasukan Tindakan Khas (PTK), Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan migran dalam Op Serkap, di sempadan Biawak, Lundu, pagi semalam. 16 warga asing ditahan dalam operasi tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dilaksanakan hasil maklumat risikan mengenai penyeludupan migran dan pemerdagangan orang melalui laluan tidak diwartakan.
  • Penguatkuasa mengesan dua kenderaan dipercayai membawa migran dari kawasan hutan ke jalan utama.
  • Individu ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah; dua kenderaan disita; siasatan dijalankan di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM dan Akta Imigresen.

Operasi dilaksanakan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang yang aktif melalui laluan tidak diwartakan berhampiran perimeter Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) Biawak.

Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pasukannya mengesan dua buah kenderaan dipercayai membawa migran dari kawasan hutan menuju ke jalan utama Biawak, Lundu.

“Hasil pemeriksaan, 16 orang warga asing, terdiri daripada 12 lelaki dan empat perempuan ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Penguatkuasa untuk tindakan lanjut,” menurut hantaran tersebut.

Turut disita dalam operasi itu adalah dua buah kenderaan yang digunakan dalam aktiviti tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM serta Seksyen 5(1), 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.