JPN Kedah pandang serius kes pelajar jatuh bangunan sekolah

Kenyataan JPN Kedah

SUNGAI PETANI, 3 Mac- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memandang serius insiden seorang pelajar tingkatan lima terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di sini pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPN Kedah serius menanggapi insiden pelajar tingkatan lima jatuh dari tingkat tiga sekolah.
  • JPN akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis untuk siasatan menyeluruh, telus dan profesional.
  • Pekerja pembersihan menemui mangsa; mangsa diberi bantuan segera dan dihantar ke hospital.
  • CCTV awal menunjukkan pelajar dipercayai jatuh selepas beg ditemui berdekatan kerusi di koridor.

Jelas pihak itu, kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada pihak polis dan tiada kompromi terhadap sebarang unsur buli atau jenayah di sekolah jika didapati berlaku.

“JPN Kedah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan profesional,” menurut kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan kejadian disedari seorang pekerja pembersihan sekolah yang menemukan pelajar itu dalam keadaan terbaring di kawasan Bangunan Blok A dan kejadian dipercayai berlaku ketika semua warga sekolah berada di tapak perhimpunan.

“Bantuan segera telah diberikan dan pelajar itu dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Pihak sekolah turut memaklumkan perkara itu dengan segera kepada ibu bapa murid berkenaan,” menurut kenyataan.

JPN turut memaklumkan hasil semakan awal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pelajar itu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan beg mangsa ditemukan berdekatan dua kerusi yang diletakkan di koridor di tingkat berkenaan yang disyaki digunakan untuk memanjat sebelum terjatuh.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” menurut kenyataan.