
JOHOR BAHRU, 7 Januari – Jabatan Imigresen (JIM) Johor menyelamatkan tiga wanita warga Indonesia, yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia, dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Mount Austin di sini, semalam.
- Mangsa didakwa dipaksa bekerja di kilang pada waktu pagi dan dieksploitasi sebagai pembantu rumah selepas waktu kerja.
- Mereka dijanjikan gaji RM1,800 tetapi tidak menerima pembayaran penuh sejak bekerja.
- Pasport mangsa ditahan majikan, pergerakan mereka dihadkan dan dilarang berhubung dengan keluarga.
- Majikan, seorang lelaki dan dua wanita tempatan, ditahan untuk siasatan mengikut Akta ATIPSOM 2007.
- Operasi menggunakan garis panduan NGHTI 2.0 untuk mengenal pasti dan melindungi mangsa pemerdagangan.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi dari pukul 3.30 hingga 6.30 petang itu melibatkan 24 pegawai bahagian penguat kuasa, dengan mangsa termasuk seorang pendatang tanpa izin berusia antara 24 hingga 33 tahun.
“Siasatan awal mendapati mereka dipaksa bekerja di kilang milik majikan pada waktu pagi dan dieksploitasi untuk bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman selepas tamat waktu kerja untuk tempoh antara satu hingga dua tahun.
“Mangsa mendakwa dijanjikan gaji RM1,800 sebulan, namun tidak menerima gaji sepenuhnya sejak bekerja selain pasport ditahan majikan. Pergerakan mereka juga dihadkan dan tidak dibenarkan berhubung dengan keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Datuk Mohd Rusdi berkata majikan mangsa, seorang lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 31 hingga 62 tahun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
Menurutnya, operasi itu menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan dalam kalangan golongan rentan berpandukan Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana majikan yang mengambil kesempatan terhadap pekerja asing melalui paksaan, ugutan atau eksploitasi,” katanya.