Insiden letupan bom tangan: Kematian dua anggota tentera diklasifikasi SDR

(Foto kecil) Allahyarham Koperal Norazmi Abu Bakar dan Allahyarham  Prebet Siti Khadijah Sungip

JENIANG, 30 Jun- Kes kematian dua anggota tentera akibat letupan bom tangan (grenad) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun pada 16 Jun lalu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan polis selesai dan kes diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk siasatan lanjut.
  • Keadaan dipercayai disebabkan faktor teknikal, bukan kecuaian; siasatan terperinci ATM masih dijalankan.
  • Insiden lain: dua anggota cedera terkena serpihan senjata api ketika latihan; dipercayai berkaitan faktor teknikal dan disiasat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata siasatan polis berhubung kejadian itu telah selesai sebelum diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi siasatan lanjut.

Menurut beliau, kejadian berkenaan dipercayai lebih menjurus kepada faktor teknikal dan bukan kecuaian mana-mana pihak, namun siasatan terperinci masih dijalankan ATM.

“Untuk siasatan itu, kita serahkan kepada pihak tentera. Setakat ini, kita lihat ia lebih kepada faktor teknikal, bukan kecuaian kerana prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi.

“Setiap pelatih juga diiringi jurulatih ketika menjalani latihan kerana ia melibatkan aspek keselamatan dan nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Pondok Polis Jeniang, di sini, hari ini.

Mengulas kejadian terbaharu membabitkan dua anggota tentera berpangkat sarjan dan koperal yang cedera terkena serpihan objek senjata api ketika menjalani latihan tembakan di Kem Hobart, beliau berkata insiden itu juga dipercayai berkaitan faktor teknikal dan masih dalam siasatan.

Pondok Polis Jeniang akan beroperasi sementara mulai 2 Julai hingga 20 Ogos ini berikutan Balai Polis Jeniang sedang menjalani kerja pengubahsuaian

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.