
RANTAU PANJANG, 22 Julai- Dua individu yang mendakwa sebagai adik-beradik ditahan selepas dipercayai memasuki Malaysia menggunakan laluan air tidak diwartakan dari Thailand dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Pengkalan Haram Kedap, di sini, semalam.
- Anggota Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA dan tiga anggota Unit Dron PGU menahan suspek sekitar pukul 6.45 petang.
- Seorang lelaki 19 tahun gagal kemukakan dokumen sah; seorang perempuan 14 tahun mengemukakan kad pengenalan Malaysia; kedua-dua mereka ditahan.
- Suspek ditahan mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63; kes diserahkan kepada JSJ IPD Pasir Mas.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Hussain berkata suspek berusia 19 dan 14 tahun itu ditahan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA Kuala Terengganu dengan bantuan tiga anggota Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) kira-kira pukul 6.45 petang.
Katanya, pasukan operasi yang menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan mengesan sebuah perahu dikemudi seorang lelaki membawa kedua-dua suspek dari tebing Sungai Thailand ke tebing Pengkalan Haram Kedap di sini.
“Hasil pemeriksaan mendapati penumpang lelaki, 19, gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala penumpang perempuan, 14, mengemukakan kad pengenalan Malaysia.
“Kedua-dua mereka kemudian ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek lelaki yang merupakan warga Thailand mendakwa memasuki Malaysia untuk menemani adiknya pulang ke Kulai, Johor, manakala suspek perempuan sebelum itu memasuki Thailand melalui pangkalan haram sama pada 17 Julai atas urusan keluarga.
“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mereka menaiki perahu dari tebing sungai Thailand ke tebing Sungai Pengkalan Haram Kedap dengan bayaran RM30 bagi dua orang,” katanya.
Beliau berkata suspek lelaki ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen sah, manakala suspek perempuan ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan.
Kedua-dua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.