
TUMPAT, 22 Julai — Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 170 paket minyak masak bersubsidi yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan ke Thailand di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, semalam.
- Rampasan dilakukan kira-kira pukul 7.35 malam ketika anggota PGA menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
- Tiada tangkapan dibuat; semua barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, siasatan lanjut dijalankan untuk mengesan pemilik dan menyiasat cubaan penyeludupan ke Thailand.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain, berkata rampasan dilakukan kira-kira pukul 7.35 malam ketika anggota PGA menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap sebuah SUV yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan menemukan beberapa kotak mengandungi 170 paket minyak masak bersubsidi.
“Rampasan membabitkan sebuah SUV dan 170 paket minyak masak dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM20,425.
“Tiada tangkapan dibuat dalam operasi itu dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pemilik kenderaan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati minyak masak bersubsidi itu disyaki akan diseludup ke Thailand melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya.