
RANTAU PANJANG, 22 Julai- Cubaan mendapatkan air ketum melalui laluan air di sempadan Malaysia-Thailand terbongkar selepas seorang lelaki ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Pengkalan Haram MCA, di sini, semalam.
- Anggota PGA bersama Unit Dron mengesan dan menahan suspek kira-kira pukul 5.45 petang semasa menjalankan pemantauan.
- Pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik hitam berisi dua botol lutsinar kira-kira dua liter cecair keperangan disyaki air ketum.
- Suspek mengaku membeli air ketum dari seberang Thailand pada harga RM10 sebotol melalui seorang individu yang mengayuh perahu.
- Suspek dan rampasan diserahkan kepada JSJN IPD Pasir Mas; nilai rampasan dianggarkan RM3,060; kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Hussain berkata tangkapan itu dilakukan kira-kira pukul 5.45 petang ketika anggota Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA Kuala Terengganu menjalankan pemantauan dengan bantuan tiga anggota Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU).
Katanya, pasukan operasi mengesan suspek berusia 22 tahun menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan di tebing sungai kawasan berkenaan.
“Satu bungkusan plastik hitam dikesan berada pada bahagian tengah motosikal. Pemeriksaan lanjut menemukan dua botol lutsinar berisi kira-kira dua liter cecair keperangan disyaki air ketum dalam bungkusan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku membeli air ketum dari seberang Thailand pada harga RM10 sebotol melalui seorang individu yang mengayuh perahu di tebing Pengkalan Haram MCA.
“Suspek turut memaklumkan air ketum itu adalah untuk kegunaan sendiri,” katanya laagi.
SAC Ahmad berkata suspek bersama rampasan termasuk motosikal diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah motosikal dianggarkan RM3,060,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Beliau berkata, pemeriksaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah serta salah laku jenayah di kawasan tanggungjawab.