
BUKIT KAYU HITAM, 13 April – Dua pelajar lelaki berusia 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini antara 37 individu yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.
- Beberapa individu ditahan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam selepas pulang berhibur di pusat hiburan Pekan Danok, Thailand.
- Ujian air kencing mendapati mereka positif methamphetamine, MDMA dan ketamin.
- Pengarah AADK menasihatkan ibu bapa lebih peka terhadap pergaulan dan teman anak sebagai loceng amaran.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan majoriti adalah pengguna kali pertama atau untuk hiburan.
Kesemua mereka ditahan selepas pulang dari berhibur di pusat hiburan di Pekan Danok, Thailand, menerusi Operasi Sekatan Jalan Raya Khas yang dijalankan Unit Antidadah Sempadan (UAS) bermula pagi Sabtu hingga petang semalam.
Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Md Razif Wan, berkata kedua-dua remaja terbabit ditahan dalam kejadian berasingan, masing-masing bersama individu dewasa yang turut didapati positif dadah.
Menurut beliau, remaja pertama dikesan memasuki sempadan bersama rakannya berusia 22 tahun yang turut positif dadah.
Katanya, remaja itu ditahan pada pukul 11 malam semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan ahli keluarga.
Sementara itu, seorang lagi remaja berusia 17 tahun ditahan pada jam 2.30 petang semalam bersama kakaknya berusia 22 tahun yang turut didapati positif dadah.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine, MDMA dan ketamin.
Md Razif berkata, kejadian itu sepatutnya menjadi peringatan serius kepada semua pihak, khususnya ibu bapa dan ahli keluarga, agar lebih peka terhadap pergaulan anak-anak.
“Perkara ini sepatutnya menjadi loceng amaran kepada kita semua sebagai rakyat Malaysia, khususnya kepada pihak yang bertanggungjawab, termasuk ahli keluarga. Kita perlu memastikan anak-anak kita keluar dengan siapa dan bergaul dengan siapa.
“Dalam kes semalam, remaja itu keluar bersama rakannya yang berusia 22 tahun dengan menaiki motosikal. Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, remaja berusia 17 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan di sekolah. Dia juga dikatakan seorang budak yang baik, malah ibunya sendiri terkejut apabila dimaklumkan dia didapati positif.
“Apabila siasatan lanjut dibuat, difahamkan remaja itu hanya mengikut rakannya. Rakannya yang berusia 22 tahun itu pula memang mempunyai banyak kes lampau, dan keluarganya juga dipercayai sudah beberapa kali terlibat dengan isu dadah.
“Jadi, secara ringkasnya, pengaruh rakan sebaya itu memang benar-benar memberi kesan. Maksudnya, dia gagal memilih kawan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di UAS Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, hari ini.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan dalam operasi tersebut berusia antara 17 hingga 42 tahun.
Beliau berkata, majoriti daripada mereka merupakan pengguna kali pertama atau individu yang mengambil dadah sekadar untuk tujuan hiburan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.