Dua Penolong Pengarah JPN Perak didakwa terima suapan RM4,000

Penolong Pengarah JPN didakwa terima suapan

IPOH, 3 Mac – Dua penolong pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua penolong pengarah JPN Perak mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan suapan berjumlah RM4,000.
  • Suapan diterima secara bersama melalui pemindahan ke akaun dan transaksi tunai pada 2020 dan 2022.
  • Diikat jamin RM5,000 setiap seorang; pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebutan semula 15 April.

Tertuduh, Wan Muhamad Huzairi Shukri, 42 tahun, dan Nor Haslan Nor Zaman, 46 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama menerima wang tunai berjumlah RM2,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik Wan Muhamad Huzairi.

Wang tersebut diterima daripada seorang pengurus syarikat berusia 38 tahun yang mempunyai urusan rasmi dengan Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), JPN Perak, dan berkaitan dengan tugas rasmi kedua-dua tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Medan Gopeng pada 27 Ogos 2020.

Dalam prosiding yang sama, kedua-dua tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan menerima wang masing-masing berjumlah RM1,500 dan RM500 daripada individu yang sama di lokasi yang sama pada 6 Januari dan 29 Mac 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G. Nanthini, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Hafiz Norkhan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dan menetapkan 15 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.