Dua lelaki ditahan, 47.94 gram heroin dirampas

Foto fail/RTM

MELAKA, 16 Februari – Dua lelaki tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan di kawasan ladang kelapa sawit di Tanjung Minyak, pada 11 dan 12 Februari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 37 paket disyaki heroin dirampas, jumlah berat 47.94 gram daripada dua serbuan berasingan.
  • Dua lelaki tempatan ditahan; ujian air kencing awal menunjukkan keputusan positif dadah.
  • Polis menyita dua motosikal suspek, anggaran nilai RM10,500; nilai keseluruhan rampasan RM11,550.
  • Kegiatan pengedaran aktif sejak sebulan lalu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Polis (ACP) Christopher Patit berkata, kedua-dua suspek ditahan bersama 37 paket bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 47.94 gram.

“Serbuan pertama dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (D4) serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Komuniti Kepolisan yang menemukan 17 paket heroin seberat 22.46 gram.

“Serbuan kedua pula dilaksanakan di Krubong dengan rampasan 20 paket heroin seberat 25.48 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, polis turut menyita dua motosikal milik suspek yang dianggarkan bernilai RM10,500 menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah RM11,550.

Hasil risikan awal polis mendapati kegiatan pengedaran dadah itu menyasarkan pasaran tempatan dan aktif sejak sebulan lalu.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

“Kedua- dua suspek direman selama tujuh hari bermula 12 hingga 18 Februari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.