
JOHOR BAHRU, 7 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 72 pekerja asing yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi bersepadu di kawasan medan selera di bandar raya ini, pada Jumaat.
- Operasi bersepadu melibatkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
- Menemui warga asing bekerja tanpa pas sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial sebagai pelayan restoran dan tukang masak.
- Individu disyaki melanggar Akta Imigresen, ditempatkan di depot untuk siasatan; lima Borang 29 dikeluarkan.
Pengarah Imigresen Johor, Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang bermula pada pukul 8 malam itu turut melibatkan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurut beliau, semua yang ditahan berusia antara 19 hingga 46 tahun dan bekerja sebagai pelayan restoran serta tukang masak.
Mereka terdiri daripada 17 lelaki warga Myanmar, 14 warga Indonesia (empat lelaki dan 10 wanita), 40 warga Vietnam (tiga lelaki dan 37 wanita) serta seorang wanita warga China.
“Operasi yang dijalankan serentak ke atas beberapa premis makanan telah berjaya mengesan kehadiran warga asing yang bekerja tanpa pas sah serta menyalahgunakan kemudahan pas lawatan sosial.
Pemeriksaan menyeluruh turut dijalankan terhadap pekerja dan majikan tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua individu terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.
Dalam operasi sama, sebanyak lima Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu proses siasatan.
Mohd Rusdi menambah, operasi bersepadu berkenaan mencerminkan komitmen berterusan agensi penguat kuasa dalam memperkukuh kawalan keselamatan, memelihara ketenteraman awam dan memastikan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara.