
PUTRAJAYA, 4 MAC – Siasatan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan berjumlah RM1.11 bilion kini memasuki fasa penting apabila seorang bekas menteri dan seorang Ketua Setiausaha (KSU) kementerian antara 12 individu yang telah dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
- Seorang bekas menteri dan seorang KSU antara 12 dipanggil SPRM untuk bantu siasatan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion.
- SPRM memanggil saksi dari pelbagai agensi termasuk Kementerian Ekonomi, MIDA dan MITI, serta memperolehi dokumen penting.
- Seorang individu dipercayai berada di United Kingdom dikehendaki pulang segera untuk direkod percakapan bagi melengkapkan siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua saksi berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan yang melibatkan beberapa agensi kerajaan.
“Kita telah memanggil 12 orang saksi daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Ekonomi, MIDA, MITI dan agensi lain.
“Dokumen penting telah kita peroleh daripada agensi berkaitan dan kita juga meneliti pembentangan kertas Kabinet dalam perkara ini,” katanya dalam sidang media perkembangan siasatan kes SPRM di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, seorang individu yang dipercayai berada di luar negara kini dikehendaki bagi membantu siasatan SPRM.
Individu berkenaan dipercayai berada di United Kingdom dan diminta segera pulang ke Malaysia untuk dirakam percakapan, namun setakat ini belum memberi maklum balas.