
KEMAMAN, 2 Mei – Seorang lelaki maut, manakala dua anaknya cedera dalam
kemalangan di kilometer 290 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Chukai, dekat sini pada petang Sabtu.
- Lori treler membawa muatan batu bata dilaporkan hilang kawalan dan menghimpit pacuan empat roda.
- Kedua-dua kenderaan kemudiannya melanggar penghadang jalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
- Sebuah SUV dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian kiri pacuan empat roda.
- Treler terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kejadian pukul 6.33 petang itu membabitkan sebuah pacuan empat roda, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan lori treler.
Mangsa, Rosli Yusuf, 55 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua anak perempuannya, Auni Ukhratan Basyirah, 15, dan Iliya Markisa Qurrata Aini, 23, mengalami kecederaan pada anggota badan.
Ketika kejadian mangsa yang bertugas sebagai penolong juruteknik dikatakan sedang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Kampung Payoh.
Kemalangan dipercayai berlaku susulan lori treler yang membawa muatan batu bata hilang kawalan dan menghimpit pacuan empat roda di pandu mangsa di lorong kanan jalan.
Kejadian itu menyebabkan kedua-dua kenderaan kemudiannya melanggar besi penghadang jalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
Pada masa sama, sebuah SUV dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri pacuan empat roda mangsa.
Treler itu kemudiannya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.