146 warga asing ditahan dalam operasi imigresen di Kepong

Foto RTM

KEPONG, 30 Januari – Seramai 146 warganegara asing ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua lokasi berasingan sekitar Kepong.

RINGKASAN BERITA AI
  • 146 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu imigresen di dua lokasi sekitar Kepong.
  • Penahanan melibatkan pelbagai warganegara termasuk Indonesia, Myanmar, India, Bangladesh, Nepal, Pakistan, China, Nigeria dan Thailand.
  • Kesalahan disyaki termasuk tinggal melebihi tempoh dan tiada dokumen perjalanan atau permit sah.
  • Operasi melibatkan kerjasama PGA, PDRM, JPN, AADK dan JKM; anggota menggunakan kamera badan semasa operasi.

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi yang bermula pada pukul 8.30 malam semalam dijalankan hasil maklumat risikan yang mendapati lokasi berkenaan menjadi tumpuan warga asing, khususnya pendatang tanpa izin (PTI).

Dalam serbuan pertama di Taman Wangsa Permai, seramai 84 warga asing diperiksa.

Daripada jumlah itu, 68 individu ditahan, terdiri daripada 51 lelaki dan 17 wanita.

Di lokasi kedua sekitar Desa Aman Puri pula, seramai 153 individu diperiksa.

Pemeriksaan membawa kepada penahanan 78 warga asing, melibatkan 61 lelaki dan 17 wanita.

Kesemua individu yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia, Myanmar, India, Bangladesh, Nepal, Pakistan, China, Nigeria dan Thailand.

Menurut beliau, mereka yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Antara kesalahan yang disyaki termasuk tinggal melebihi tempoh masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, selain tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit yang sah atau di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengulas lanjut, Khairrul Aminus berkata, tahap pematuhan di Selangor menunjukkan trend positif apabila semakin ramai majikan sedar kepentingan menggaji warga asing yang memiliki permit sah.

“Sebagai contoh, dalam operasi di Pulau Indah, Klang sebelum ini, daripada 1,000 individu yang diperiksa, hanya sekitar 100 orang didapati melakukan kesalahan selepas majikan hadir mengemukakan dokumen sah keesokan harinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor, Mohd Rozy Hassan berkata, penggunaan kamera badan oleh anggota penguat kuasa JIM telah dilaksanakan dalam operasi berkenaan.

“Penggunaan kamera badan ini membantu dari aspek keselamatan, memperkasa integriti serta merupakan sebahagian daripada transformasi yang dilaksanakan oleh JIM,” katanya.