BUKIT KATIL, 7 Januari – Sebanyak 11 kenderaan disita manakala 11 individu ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op PeWA) di sekitar negeri Melaka, semalam.
- JPJ Melaka tahan 11 warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Syria dan Myanmar semasa operasi Op PeWA.
- Siasatan dibuat ke atas 55 kenderaan, menghasilkan rampasan dan penahanan individu terlibat.
- 43 notis kesalahan dikeluarkan kerana tiada lesen memandu, LKM tamat tempoh dan tiada insurans.
- JPJ ingatkan pemilik bertanggungjawab jika memberi kebenaran kepada pemandu tanpa lesen sah.
- Bilangan notis JPJ Melaka menurun 7.3 peratus pada 2025 berbanding 2024.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, menerusi pemeriksaan ke atas 55 kenderaan itu lapan warga Indonesia, Bangladesh (1), Syria (1) dan Myanmar (1) ditahan.
Sementara itu sebanyak 43 notis kesalahan dikeluarkan akibat tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
“Sehubungan itu, JPJ Negeri Melaka menegaskan bahawa setiap pemilik kenderaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggunaan kenderaan masing-masing.
“Memberi kebenaran kepada pemandu warga asing untuk menunggang motosikal atau memandu mana-mana kenderaan tanpa lesen memandu yang sah merupakan satu kesalahan, dan tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Melaka di sini.
Bagaimanapun jumlah notis kesalahan yang dikeluarkan JPJ Melaka menunjukkan penurunan sebanyak 5,447 notis kesalahan atau 7.3 peratus pada 2025 yang merekodkan 69,256 notis berbanding 74,703 notis pada 2024.