fb fb fb fb fb

Zayn Rayyan cuba pertahankan diri - Mohd Shuhaily

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, pada sidang media di IPD Petaling Jaya malam tadi

PETALING JAYA, 8 Disember - Kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya diletakkan di anak sungai, dekat Damansara Damai di sini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Shuhaily berkata hasil bedah siasat menemui kesan luka mempertahankan diri pada tubuh kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Beliau turut mendedahkan kematian mangsa berpunca daripada kecederaan di leher dipercayai akibat dicekik.

"Mengambil kira daripada hasil bedah siasat, kita merumuskan mangsa tidak mati di tempat kejadian, mungkin mati di tempat lain dan diletakkan di situ (anak sungai) … yang pasti dia (Zayn Rayyan) bukan lemas.

"Dalam konteks ini (punca kematian) saya rasa elok saya sebut bedah siasat menemui defensive wound (kecederaan akibat mempertahankan diri)," katanya kepada pemberita ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, malam tadi.

Katanya, aliran anak sungai di kawasan itu bukan laluan kebiasaan orang ramai.

Namun beliau percaya suspek tahu selok-belok di lokasi kejadian.

"Pihak polis bersama masyarakat setempat selama dua hari telah melalui tempat sama, tidak menemukan mangsa tetapi dijumpai pada hari kedua lewat malam.

"Kita memandang serius kes ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya bagi membantu siasatan," kata beliau.

Mohd Shuhaily berkata, polis kini sedang mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid dilapor berkata, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia pada 10 malam Rabu.

Sebelum itu, 40 anggota polis bersama 60 penduduk setempat bekerjasama mencari di setiap 2,484 unit kediaman di 18 blok Apartmen Idaman.

Mayat kanak-kanak lelaki itu dijumpai kumpulan penduduk yang turut membantu operasi mencari mangsa.

Mangsa ditemukan terbaring di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

ARTIKEL BERKAITAN

Jenayah Zayn Rayyan selamat dikebumikan

Polis sahkan kematian Zayn Rayyan ada unsur jenayah

Polis akan ambil keterangan ibu bapa, jiran Zayn Rayyan

Zayn Rayyan yang hilang ditemui meninggal

GRACE AISYAH KEDAYAN