fb fb fb fb fb

Warga Thailand ditahan, ubah suai tangki kenderaan untuk petrol subsidi

FOTO HIASAN

IPOH, 18 Februari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menahan seorang warga Thailand dipercayai mengubah suai tangki kenderaan untuk menikmati petrol subsidi.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu kira-kira 11.30 pagi.

Beliau berkata sepasukan anggota penguat kuasa KPDN memeriksa kereta terbabit yang bernombor pendaftaran Malaysia dipandu lelaki itu ketika melalui pos sekatan jalan raya menuju ke Betong, Thailand.

"Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah tangki tambahan di bahagian belakang kereta itu yang bersambung dengan tangki asal. Tangki tambahan itu berisi cecair disyaki minyak petrol,” katanya.
Menurut Kamalludin pihaknya menyita 60 liter cecair disyaki minyak petrol bersama kenderaan berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM5,123.

Beliau berkata lelaki itu direman empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

KPDN Perak, katanya pada masa ini sedang giat menempatkan anggota penguat kuasa di pintu masuk sempadan negara dalam usaha mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

"KPDN Perak akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF