fb fb fb fb fb

Lima kelongsong peluru ditemukan di lokasi penjenayah ditembak polis

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian

KUBANG PASU, 17 Februari- Lima kelongsong peluru ditemukan di lokasi penjenayah yang maut ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Bukit Kechik, Napoh, Changlun lewat petang semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata tiga kelongsong peluru dilepaskan polis dan dua kelongsong peluru dari senjata api jenis semi automatik ditemui di tempat kejadian selepas Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan pemeriksaan susulan.

Katanya ketika dihubungi media, kenderaan yang digunakan suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti penglibatan suspek dengan penjenayah lain dalam melakukan aktiviti penyeludupan dan penjualan senjata api dan peluru.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Mayat suspek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Katanya, polis akan mengeluarkan kenyataan hasil daripada bedah siasat yang dijangka diperoleh lewat hari ini.

ROSLINA BINTI DIN