fb fb fb fb fb

Penjawat awam mengaku tidak bersalah terima suapan

Tertuduh Saifulamin Sabran hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU, 18 Februari - Seorang penjawat awam yang bertugas di Jabatan Patologi, Hospital Sultanah Aminah, di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas 25 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM16,150 antara 2019 hingga tahun lalu. 

Tertuduh Saifulamin Sabran, 52 tahun yang juga Juruteknologi Makmal Perubatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersetuju menerima untuk dirinya sejumlah wang tunai bernilai keseluruhan RM16,150 daripada enam individu tanpa balasan dan mempunyai hubungan dengan tugas rasmi.

Pemberian kesemua wang tunai antara RM500 hingga RM2,000 menerusi beberapa akaun bank milik enam individu yang menjadi pengantara.

Kesalahan dilakukan antara 17 Ogos 2019 hingga 19 Januari 2023 di dua buah bank di enam cawangan berbeza sekitar Johor Bahru, Bandar Baru Uda, Kota Tinggi, Desaru, Kulai dan Simpang Renggam. 

Bagi pertuduhan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Julaila Jamaludin manakala tertuduh diwakili peguam Shaik Saleem SM Daud.

Pada 21 April ditetapkan sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan jaminan sebanyak RM10,000 ditawarkan kepada tertuduh beserta tiga syarat termasuk tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan. 

TETITIA YUSOFF