fb fb fb fb fb

Warga Pakistan didakwa liwat, cabul dan rompak remaja lelaki

FOTO HIASAN

SHAH ALAM, 23 Julai – Seorang lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan termasuk kesalahan meliwat, mencabul serta merompak seorang remaja lelaki.

Tertuduh, Muhammad Hassan, 24 tahun, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Urdu di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Dua pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 19 tahun.

Selain itu, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun serta seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.

Satu lagi pertuduhan mendakwa tertuduh merompak wang tunai RM230 milik seorang remaja lelaki yang diliwatnya.

Kesemua perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah dewan, kawasan hutan dan semak berhampiran sekolah rendah di Seksyen 27 serta di taman permainan pangsapuri di Seksyen 28, antara 18 April hingga 26 Jun lalu.

Mahkamah menetapkan 23 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE