fb fb fb fb fb

Sindiket promosi laman lucah sasar pengguna India tumpas

Datuk Rusdi Mohd Isa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Polis menumpaskan satu sindiket promosi dan pemasaran laman sesawang lucah yang menyasarkan pengguna dari India dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Tun Razak, di sini, pada 1 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu menerusi sebuah syarikat berdaftar.

Menurut beliau, sindiket menggunakan platform siaran langsung berunsur lucah dan menawarkan akses percuma kepada pengguna yang 'like' dan 'share' kandungan di platform berkenaan.

"Untuk akses lebih eksklusif, pengguna perlu membuat bayaran bagi keahlian bulanan.

Bayaran keahlian asas antara 50 hingga 100 rupee (RM2.45 hingga RM4.89), keahlian premium antara 200 hingga 500 rupee (RM9.78 hingga RM24.46) dan keahlian VIP mencecah 1,000 hingga 2,000 rupee (RM48.92 hingga RM97.84)," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Tambah beliau, pengguna turut dikenakan bayaran tambahan sekiranya gagal mematuhi syarat seperti tidak mencukupi jumlah 'like' dan 'share', menonton melebihi 10 video sehari termasuk mengakses video premium.

Datuk Rusdi berkata, pembayaran bagi perkhidmatan berkenaan dilakukan menerusi platform yang dikendali sindiket dengan tawaran mata ganjaran dan bitcoin bagi video berdurasi panjang.

Hasil siasatan mendapati akaun pengguna kemudian akan disekat selepas bayaran dibuat dan sindiket akan mendesak pengguna membuat bayaran tambahan atas alasan kononnya syarat tidak dipatuhi.

"Ramai pengguna hanya menyedari mereka ditipu selepas akaun terus disekat walaupun bayaran tambahan telah dibuat dan sindiket gagal dihubungi," katanya lagi.

Hasil serbuan, seramai 57 individu berusia antara 19 hingga 53 tahun ditahan terdiri daripada 54 warga tempatan termasuk 26 wanita, serta dua lelaki dan seorang wanita warga China.

Bagaimanapun hanya enam individu dituduh bawah seksyen 120(2)b Kanun Keseksaan, manakala yang lain dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis turut merampas 58 komputer riba, sebuah telefon bimbit dan sebuah perakam suara yang disyaki digunakan dalam operasi sindiket.

"Siasatan mendapati mereka dibayar sekitar RM3,000 sehari dan boleh memperoleh pendapatan sehingga RM60,000 sebulan," jelas beliau.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN