PETALING JAYA, 23 Julai - Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin mengakui di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia tidak mencari anak sulungnya itu di kawasan kebun berhampiran kediaman mereka di Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai semasa kehilangan kanak-kanak autistik berkenaan pada 5 Dis 2023.
Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata dia sebaliknya mencari Zayn Rayyan di seluruh kawasan apartmen berkenaan dan juga premis-premis yang berada berhampiran kawasan kediaman mereka.
"Saya mencari Zayn di setiap tingkat di Blok R, kemudian saya ke Blok S dan Blok A... semua apartmen ini mempunyai empat tingkat... saya cari Zayn sendirian dan pada masa sama, saya berhubung dengan suami saya (Zaim Ikhwan Zahari) yang ketika itu berada di tempat kerjanya dan suami beritahu dia sudah hendak sampai di Apartmen Idaman.
"Suami minta saya menunggu di hadapan Blok E dan apabila dia sampai, kami melakukan pencarian bersama," katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada hari ketiga prosiding membela diri dalam kes pengabaian membabitkan kanak-kanak malang berusia enam tahun itu.
Ismanira berkata dia dan suaminya turut mencari Zayn Rayyan di stesen minyak, restoran makanan segera, sekolah, bangunan tempat kerja, Apartmen Indah dan Apartmen Harmoni serta Prima Damansara yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari kawasan kediaman mereka.
Ismanira juga bersetuju dengan cadangan Raja Zaizul bahawa jarak kesemua premis seperti restoran makanan segera dan stesen minyak adalah lebih jauh dari Blok R berbanding kawasan kebun.
Raja Zaizul: Kawasan dekat (kebun) tak cari, kawasan jauh cari, setuju?
Ismanira: Setuju.
Walau bagaimanapun, saksi pembelaan pertama itu tidak bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa dia berjumpa ramai orang semasa mencari Zyan Rayyan di setiap tingkat blok apartmen tersebut.
"Mungkin ada, saya tidak berselisih dengan orang kerana blok itu waktu orang bekerja tidak ramai orang, kecuali di bahagian kedai dan gerai... saya berjumpa dengan orang untuk meminta tolong semasa berhenti di Blok A, di situ ada gerai-gerai dan orang berniaga... apabila saya masuk setiap kedai, kami (tertuduh dan suami) meninggalkan nombor telefon," katanya.
Disoal peguam Haresh Mahadevan berhubung tindakan Ismanira mencari Zayn Rayyan di kawasan yang jaraknya 500 meter berbanding kebun, Ismanira berkata "Saya kenal anak saya, anak saya autistik dan dia hanya pergi ke tempat yang biasa dia pergi sahaja.
"Saya tidak pernah membawa Zayn ke kebun atau tempat arwah anak saya dijumpai, melainkan ada perkara yang tidak pernah dialami (berlaku) atau dicekup orang," kata wanita itu.
Isnin lepas, Hakim Dr Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu manakala suaminya, Zaim Ikhwan, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
- BERNAMA