JOHOR BAHRU, 23 Julai - Empat aduan berkaitan harga tidak munasabah diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sejak pelaksanaan Op Kesan 4.0 bermula 1 Julai lalu, melibatkan dua bengkel, kawasan parkir di sekitar Johor Bahru serta sebuah kedai runcit di Kota Tinggi.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada berlaku pencatutan atau pelanggaran di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723).
"Apabila terdapat aduan, kita perlu menjalankan siasatan untuk menentukan sejauh mana kebenaran aduan tersebut, sama ada ia berasas atau sebaliknya yang mengelirukan dari segi fakta.
"Setakat ini, empat kes sedang dalam siasatan. Jika didapati wujud unsur pencatutan, ini bermakna berlaku pelanggaran di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Seksyen 723," katanya selepas sesi turun padang pemantauan Op Kesan 4.0 di Johor Bahru.
Sepanjang tempoh operasi sehingga kini, 48 premis perniagaan di seluruh Johor telah diperiksa dan diberi Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB).
Op Kesan bertujuan memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga susulan pelaksanaan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).