fb fb fb fb fb

Warga Myanmar didakwa beri rasuah untuk lepaskan sembilan rakan senegara

Foto hiasan

SHAH ALAM, 28 Ogos- Seorang pendawai elektrik warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan kepada seorang pegawai Imigresen sebagai upah untuk melepaskan kemasukan sembilan rakan senegara.

Pho Cho, 37, didakwa memberikan rasuah RM5,650 kepada pegawai itu yang bertugas di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kesalahan itu dilakukan di medan selera di Kampung Baharu Lanjut, Sepang dekat sini pada 3.55 petang, 31 Okt 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh ialah warga asing.

“Saya juga memohon perintah larangan (gag order) agar mana-mana nama saksi yang terlibat dalam kes ini tidak disiarkan di media sosial, keratan akhbar dan seangkatannya kerana dikhuatiri boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Peguam Ungku Imran Athari yang mewakili tertuduh memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan atas alasan ini kesalahan pertama anak guamnya selama 18 tahun menetap di Malaysia.

Hakim Datuk Anita Harun kemudian menetapkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mendapatkan perintah larangan agar nama-nama saksi tidak disiarkan serta semua syarat tambahan.

Mahkamah menetapkan 30 Sept ini untuk sebutan kes.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN