fb fb fb fb fb

Kes mayat bayi disimen: Polis cari wanita warga Indonesia

Polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia berhubung penemuan mayat bayi yang ditanam dalam simen di kawasan letak kereta sebuah rumah di Taman Sri Rokam, di Ipoh / Foto RTM

IPOH, 28 Ogos - Polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia berhubung penemuan mayat bayi yang ditanam dalam simen di kawasan letak kereta sebuah rumah di Taman Sri Rokam, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata maklumat mengenai kejadian tersebut diterima daripada seorang lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja baik pulih di rumah tersebut.

Beliau berkata, pengadu mengorek simen di hadapan rumah, di bahagian tempat letak kereta untuk kerja-kerja baik pulih sebelum menemukan cebisan kain sarung dan mayat bayi di dalamnya.

"Siasatan terhadap pemilik rumah mendapati kediaman itu telah disewakan kepada seorang wanita warga Indonesia sejak tiga tahun lalu dengan kadar sewa RM400 sebulan. Wanita tersebut juga telah melarikan diri kira-kira sebulan lalu," katanya menerusi kenyataan.

Abag Zainal Abidin berkata, pemilik rumah mengetahui wanita itu mengandung kerana setiap bulan akan ke rumah tersebut untuk mengutip sewa.

Menurut keterangan pakar patologi, mayat bayi tersebut dipercayai berusia tujuh bulan.

Bedah siasat akan dijalankan esok di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN