KUANTAN, 23 Ogos- Sebuah kapal kargo membawa sebanyak 420 guni serbuk bijih timah dipercayai cuba diseludup ke negara ini dari Indonesia ditahan dalam satu operasi khas Rabu lepas.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata kapal kargo terbabit dikesan oleh bot pihaknya dalam keadaan mencurigakan menuju ke Sungai Endau.
Hasil pemeriksaan mendapati kapal itu dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama tiga kru warga Indonesia berusia antara 34 hingga 40 tahun bersama timbunan bungkusan guni berisi pasir hitam disyaki tin ore iaitu bijih timah dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
Kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa muatan kargo atau barang berduti.
Kapal tersebut juga tidak memaklumkan ketibaan kepada pihak berkuasa dan kesemua suspek gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua suspek bersama kapal kargo dan hasil rampasan dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.