fb fb fb fb fb

Warga emas rugi RM6.2 juta terpedaya skim pelaburan emas

FOTO HIASAN

IPOH, 23 Januari- Seorang peniaga di sini kerugian RM6.2 juta selepas diperdaya menyertai skim pelaburan emas yang tidak wujud sejak Oktober lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa, 61, diperdaya melalui laman Facebook dan WhatsApp untuk menyertai skim pelaburan terbabit.

Beliau berkata, mangsa yang melayari satu blog pada laman Facebook telah bertindak menekan pautan kepada nombor telefon suspek di aplikasi WhatsApp.

"Kemudian, suspek telah memasukkan nombor telefon pengadu ke dalam kumpulan WhatsApp berbeza-beza bagi tujuan pelaburan dalam pasaran emas.

"Sejak daripada itu, pengadu telah memasukkan dana sebanyak 32 kali ke dalam 11 akaun bank yang berbeza berjumlah (keseluruhan) RM6.2 juta," katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Yusri, mangsa hanya menyedari diperdaya apabila dia mahu mengeluarkan wang pelaburan sebanyak RM2.2 juta, namun suspek tidak membalas serta platform pelaburan tidak dapat diakses.

Mangsa kemudian membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, polis memberi amaran kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan dalam platform media sosial terutama Facebook yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

SITI AISHAH BINTI MD ISA