fb fb fb fb fb

Lelaki didakwa edar dadah di hutan simpan

Tertuduh, Mohd Fazli Aziz, 35, di pekarangan Mahkamah Majistret Kangar hari ini

KANGAR, 23 Januari- Seorang individu yang bekerja sendiri didakwa di Mahkamah Majistret sini atas dakwaan mengedar dadah jenis syabu seberat 528 kilogram di Hutan Simpan Mata Ayer pada Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Fazli Aziz, 35, mengganguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim, namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah di kawasan semak di Hutan Simpan Mata Ayer, Padang Besar pada pukul 4.00 pagi, 10 Januari lalu.

Berikutan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Tertuduh berdepan hukuman gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 22 Mac depan bagi sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

SITI AISHAH BINTI MD ISA